MALAYSIA kini menerajui inisiatif serantau dalam memperkukuh tadbir urus dan kebertanggungjawaban syarikat milik kerajaan (GLC) menerusi penganjuran Mesyuarat Sulung Kumpulan Kerja Pertubuhan Audit Tertinggi Asia (ASOSAI) bagi Audit Syarikat Milik Kerajaan (WGSOEA) yang berlangsung di sini mulai hari ini hingga 28 Mei.
Dalam satu kenyataan Jabatan Audit Negara (JANM) berkata, mesyuarat yang julung kali diadakan itu dirasmikan oleh Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan dihadiri 41 delegasi dari 17 Institusi Audit Tertinggi (SAI) negara-negara Asia, termasuk China, India, Indonesia, Iran, Brunei, Qatar, Maldives, Georgia dan Yaman. Beberapa lagi negara seperti Jordan, Korea Selatan dan Rusia menyertai secara dalam talian.
“Malaysia dipilih sebagai Pengerusi WGSOEA selepas penubuhan rasmi kumpulan itu diluluskan pada Perhimpunan ASOSAI ke-16 di New Delhi pada 24 September 2024.
“Ini merupakan kali pertama satu kumpulan kerja khusus ditubuhkan di bawah ASOSAI bagi menumpukan kepada aspek audit syarikat milik kerajaan secara menyeluruh dan berstruktur, ” katanya hari ini.
Mesyuarat ini antara lain bertujuan memuktamadkan dokumen teras WGSOEA seperti Terma Rujukan (TOR), Pelan Kerja, serta Rangka Cadangan Garis Panduan Audit GLC serantau ASOSAI.
JANM berkata antara hasil penting yang bakal dicapai adalah pembangunan Garis Panduan Audit GLC serantau pertama di Asia bagi menyelaraskan amalan audit dan meningkatkan ketelusan serta akauntabiliti sektor awam.
“Garis panduan tersebut juga akan menjadi rujukan utama dalam menyemak semula rangka kerja audit sedia ada JANM agar lebih sejajar dengan piawaian antarabangsa, ” katanya.
Ujar JANM, selaras dengan pindaan terbaharu kepada Akta Audit melalui Perintah Audit (Akaun Badan-Badan Lain) (Pindaan) 2024, sebanyak 1,856 syarikat milik kerajaan telah digazetkan untuk diaudit oleh JANM, berbanding hanya 925 pada tahun 2022.
“Peningkatan ketara ini dilihat sebagai bukti komitmen kerajaan dalam memperkukuh kawal selia, integriti dan tadbir urus sektor awam negara, ” katanya. -WILAYAHKU