Selebriti

Muzik dulu, baru kekasih – Aisha Retno

- Diterbit 24 Mei 2025 9:00 AM MYT

PENYANYI dan komposer muda popular, Aisha Retno, 25, akui lebih selesa mengutamakan kerjaya muziknya berbanding soal cinta.
Aisha atau nama sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam berkata dia tidak akan menjalinkan hubungan cinta dengan mana-mana lelaki jika tidak boleh menerima kerjayanya dalam muzik.

Apatah lagi bukan mudah untuk dirinya mencari pengganti setelah putus cinta baru-baru ini.

“Siapa yang cakap ‘move on’ tu senang? Ia sebenarnya susah. Saya pula memang suka bandingkan pasangan (kekasih) dulu dan sekarang.

“Saya dah cakap pada semua yang nak berkenalan, fokus dan cinta saya sekarang pada karier terutama pada bidang muzik.

“Siapa yang tak boleh terima cinta saya pada bidang muzik, anda boleh pergi (keluar dari hidup saya). Nampaknya, si dia pula boleh terima.

Tapi lelaki selalunya memang macam itulah, pada awalnya memang manis,” katanya.

Bagi pelantun lagu Sutera ini, masih banyak lagi yang perlu diteroka dalam bidang muzik.

Dalam masa yang sama, selepas bekerjasama dengan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Aisha memasang impian mahu mencipta lagu berentak balada untuk Anuar Zain.

“Sebenarnya, saya teringin nak buat lagu ‘strong ballad’ untuk Anuar Zain dan pernah buat lagu untuknya sebelum ini. Tapi saya rancang mahu bertemu dan berbincang dengannya dulu,” katanya.

Selain itu, Aisha kini dalam proses menyiapkan pembikinan album baharu yang membabitkan kerjasama dengan artis tempatan dan Indonesia.

Menurut Aisha dia juga akan berindak selaku komposer untuk album itu.

“Antara yang akan terbabit dalam projek ini ialah pemuzik dan komposer Indonesia, Ade Govinda sebab projek kami sudah lama tertangguh sejak tahun lalu dan baru tercapai tahun ini.

“Saya juga baru kembali dari Jakarta, Indonesia untuk berbincang mengenai projek kerjasama berkenaan. Begitu juga dengan perancangan untuk berkolaborasi dengan penyanyi Indonesia, Mahalini.

“Saya pernah bercakap dengannya mengenai projek itu, tapi dia sekarang tengah cuti bersalin. Insya-Allah, jika ada rezeki kami akan bekerjasama nanti,” katanya.

Sementara itu, Aisha yang pernah berdepan kemelut pembatalan konsert saat akhir akui hanya sedia menjayakan showcase secara kecil-kecilan khas buat peminat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas