LAWATAN rasmi kerajaan Malaysia ke Rusia baru-baru ini dilihat sebagai langkah strategik untuk memperkukuh hubungan dagangan dua hala serta mengurangkan kebergantungan kepada pasaran Amerika Syarikat (AS) susulan kejutan tarif yang dikenakan negara kuasa besar itu.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abd Rashid berkata lawatan berkenaan membuka peluang besar kepada kedua-dua negara dalam aspek perdagangan dan pelaburan, terutama dalam usaha Malaysia mempelbagaikan pasaran eksport.
“Perkara ini amat relevan dalam konteks kejutan tarif AS yang dijangka memberi kesan signifikan kepada Malaysia memandangkan AS merupakan rakan dagang utama negara. Justeru, langkah kerajaan ini dilihat sebagai satu usaha untuk meminimumkan impak tarif terbabit dengan meneroka pasaran baharu seperti Rusia,” katanya.
Mengulas mengenai cabaran diplomasi dalam hubungan Malaysia-Rusia di tengah ketegangan geopolitik global, beliau berkata pendekatan berhemah perlu diambil agar Malaysia terus dilihat neutral dan berpegang kepada dasar perdagangan bebas.
“Ini memerlukan kebijaksanaan para pemimpin supaya Malaysia tidak dilihat menyebelahi mana-mana pihak. Pendekatan pelbagai hala harus menjadi teras kepada dasar luar negara,” katanya.
Tambah beliau hubungan erat dengan Rusia turut membuka peluang luas kepada sektor perniagaan domestik, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk menembusi pasaran baharu.
“Walau bagaimanapun, aspek keadilan dalam perdagangan perlu dititikberatkan agar sektor PMKS tidak terjejas dalam jangka masa pendek. Program pembinaan kapasiti, latihan, automasi serta pendigitalan perlu dipergiat supaya mereka dapat bersaing secara efektif di peringkat antarabangsa,” katanya. – WILAYAHKU