DALAM era ledakan digital tanpa sempadan, media sosial kini menjadi medan pertempuran ideologi, emosi dan maklumat, menyebabkan negara-negara di seluruh dunia berdepan cabaran mengawal penyebaran berita palsu, ujaran kebencian dan ekstremisme.
Malaysia juga tidak terkecuali. Ini sekali gus menyaksikan Pertubuhan Langkauan Politik dan Ekonomi Malaysia (LANGKAU) tampil menyatakan sokongan terhadap usaha kerajaan untuk memperkenalkan langkah sekatan terhadap kandungan media sosial yang boleh mengancam keharmonian sosial dan keselamatan negara.

Pengerusinya, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata sekatan yang dicadangkan itu bukan bertujuan mengekang kebebasan bersuara rakyat, tetapi bagi membendung unsur-unsur yang boleh mencetuskan ketegangan kaum, penghinaan terhadap institusi diraja serta ekstremisme agama.
“Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan memang menjamin kebebasan bersuara. Tetapi kebebasan ini ada batasannya. Kita tidak boleh menggunakan hak itu untuk melanggar sempadan yang membabitkan perpaduan nasional,” katanya kepada Wilayahku.
Tambah beliau pengalaman negara sebelum ini, termasuk insiden ketegangan kaum dan ketidakstabilan politik, harus dijadikan iktibar bahawa ruang siber yang tidak terkawal boleh menjadi pemangkin kepada krisis yang jauh lebih besar.
Mengulas lanjut, Wan Anwar menegaskan bahawa tanggungjawab menjaga keharmonian digital bukan sahaja terletak di bahu kerajaan.
“Kerajaan, platform media sosial, badan bebas dan pengguna, semua harus memikul tanggungjawab bersama. Kita perlu membentuk ekosistem digital yang bukan sahaja bebas tetapi juga beradab dan beretika,” jelasnya.
Bagi LANGKAU, Wan Anwar menegaskan pendekatan kawal selia kendiri yang diamalkan oleh banyak platform seperti Facebook dan TikTok menerusi Community Guidelines semata-mata dilihat tidak lagi memadai dalam suasana politik dan sosial negara yang semakin kompleks.
“Self-regulation bagus, tetapi kita perlu realistik. Jika isu-isu yang membabitkan hasutan kaum atau ekstremisme timbul, kerajaan harus ada kuasa campur tangan, tetapi secara berhemah dan berdasarkan kajian mendalam,” katanya.
Sebagai langkah semak dan imbang terhadap sebarang usaha sekatan, LANGKAU jelasnya mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan satu badan pemantau bebas seperti ‘Ombudsman Media Sosial’.
Badan itu, kata Wan Anwar perlu diberi mandat untuk menilai tahap kebebasan bersuara di Malaysia dan bertanggungjawab terus kepada Parlimen, bukan kepada mana-mana kementerian atau badan eksekutif.
“Setiap dapatan Ombudsman ini, termasuk indeks kebebasan bersuara tahunan, harus dibentangkan di Parlimen dan terbuka kepada perbahasan.
“Ini bagi memastikan sekatan yang dilaksanakan tidak dijadikan alat politik untuk menekan pihak yang mengkritik kerajaan,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kewujudan mekanisme semak dan imbang yang kukuh akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap komitmen kerajaan dalam menjaga demokrasi.
Wan Anwar memberi amaran bahawa kegagalan untuk bertindak dalam menangani konten berbahaya di media sosial boleh membawa akibat buruk terhadap negara.
“Kita bercakap tentang risiko pergeseran kaum, radikalisasi agama dan hilangnya kepercayaan terhadap institusi nasional. Ini bukan sesuatu yang boleh kita ambil ringan,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa dunia telah menyaksikan bagaimana kegagalan mengawal penyebaran berita palsu dan ujaran kebencian di media sosial telah mencetuskan rusuhan, konflik bersenjata, bahkan keruntuhan kerajaan di beberapa negara.
“Malaysia perlu belajar daripada pengalaman itu. Kawalan konten bukan pilihan, tetapi satu keperluan untuk masa depan negara,” tegas beliau.
Tambahnya LANGKAU menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan dan pihak berkepentingan lain dalam merangka garis panduan kawalan konten yang adil, berimbang dan menepati semangat demokrasi. – WILAYAHKU