Berita

Konten media sosial: Islamofobia jadi pengajaran

- Diterbit 22 Mei 2025 5:15 PM MYT

FENOMENA Islamofobia di negara-negara Barat boleh dijadikan iktibar. Serangan di Christchurch, New Zealand, pada 15 Mac 2019, yang mengorbankan lebih 50 orang di masjid, adalah bukti tragis betapa bahaya retorik kebencian.

Menurut Pensyarah Komunikasi Liberal, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Nurul Aishah Ab Raman, kebencian bukan berlaku secara tiba-tiba, ia dipupuk melalui penyebaran maklumat palsu, provokasi agama dan fitnah di platform media sosial dan forum ekstremis selama bertahun-tahun.

“Akhirnya, kata-kata bertukar menjadi tindakan ganas. Kehancuran yang ditinggalkan jauh melebihi sekadar statistik sehingga ia merosakkan rasa percaya, menimbulkan ketakutan dan memecahbelahkan masyarakat.

NURUL AISHAH

“Kita perlu belajar bahawa membiarkan konten ekstrem berkembang bebas tidak pernah membawa kebaikan. Ini jelas bahawa ucapan kebencian bukan sekadar ‘pendapat peribadi’ tetapi menjadi senjata berbahaya,” jelas beliau kepada Wilayahku.

Tambahnya fenomena yang membimbangkan ialah kecenderungan netizen untuk memberi ‘like’, komen dan ‘share’ kepada konten provokatif tanpa berfikir panjang.

“Perlu difahami bahawa setiap tindakan kita di dunia digital membawa kesan sebenar. Memberi ‘like’ atau ‘share’ kepada konten berunsur kebencian bermakna kita turut menyumbang kepada penyebarannya.

“Kita perlu bertanya pada diri sendiri sebelum berinteraksi dengan konten sebegitu. Adakah ini membantu membina masyarakat yang lebih baik, atau adakah saya sedang menambah minyak ke dalam api?

“Sikap bertanggungjawab di media sosial bukan pilihan tetapi ia adalah kewajipan moral setiap warganegara. Konten yang tidak ditapis dan keterlaluan berpotensi menjadi pemangkin kepada kekacauan. Dalam masyarakat berbilang bangsa seperti Malaysia, keseimbangan antara kebebasan bersuara dan tanggungjawab sosial amat penting,” tambahnya.

Beliau berkata jika kita membiarkan konten sensitif menyebar tanpa kawalan, ia mengundang risiko perpecahan yang mungkin tidak dapat diperbaiki.

“Sejarah mengajar kita bahawa banyak konflik besar bermula daripada percikan kecil iaitu ucapan kebencian, fitnah hingga provokasi yang diremehkan,” jelas beliau.

Tambah Nurul Aishah tanpa kawalan dan tindakan awal, negara ini boleh terjerumus ke dalam situasi huru-hara yang merugikan semua pihak.

“Budaya provokasi bukan budaya demokrasi, apatah lagi sekiranya yang sengaja dicetuskan untuk mengganggu-gugat keharmonian negara.

“Untuk membendung gejala ini, tindakan menyeluruh diperlukan. Pertama, undang-undang berkaitan hasutan dan komunikasi perlu dikuatkuasakan dengan tegas dan konsisten tanpa mengira latar belakang pelaku. Tidak boleh ada ruang untuk diskriminasi atau pilih kasih dalam penguatkuasaan.

“Kedua, pendidikan literasi media harus diperluaskan. Rakyat perlu dididik untuk memahami bahawa kebebasan bersuara datang dengan tanggungjawab. Mereka perlu sedar bahawa apa yang dikongsi di media sosial bukan sahaja boleh mempengaruhi orang lain, malah boleh membawa implikasi undang-undang kepada diri sendiri.

“Ketiga, platform media sosial sendiri perlu lebih proaktif. Mereka harus melaksanakan sistem pengesanan dan sekatan automatik terhadap kandungan berunsur hasutan, selain bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Tegasnya, masyarakat bertanggungjawab memastikan ruang digital Malaysia kekal sebagai platform yang sihat, inklusif dan membina.

“Kebebasan bersuara tidak seharusnya menjadi lesen untuk menyebarkan kebencian. Setiap daripada kita akan meninggalkan jejak digital ia bukan sahaja menggambarkan siapa kita, malah membentuk suasana masyarakat kita.

“Tindakan pantas, pendidikan berterusan, dan kesedaran kolektif adalah kunci untuk memastikan keharmonian negara terus terpelihara, hari ini dan untuk generasi akan datang,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas