PERBADANAN Putrajaya (PPj) sekali lagi membuktikan kecemerlangan apabila berjaya meraih tempat ketiga dalam Anugerah Inovasi MALA (Malaysia Association of Local Authorities) 3.0 Piala YB Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Kejayaan itu melayakkan PPj membawa pulang geran pembangunan bernilai RM300,000 serta wang tunai sebanyak RM1,000.
Anugerah berprestij ini menyaksikan penyertaan sebanyak 60 pihak berkuasa tempatan (PBT) dari seluruh negara, dengan hanya 30 penyertaan terbaik dipilih untuk mara ke pusingan akhir yang telah diadakan di Dewan Kenanga, Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru pada 24 dan 25 April lalu.
Dalam pertandingan tersebut, PPj tampil dengan projek inovatif bertajuk ‘Tandas Pintar: Memacu Inovasi Sanitasi’, yang menampilkan penggunaan teknologi pintar dalam pengurusan dan penyelenggaraan kemudahan tandas awam di Putrajaya.
Menurut Presiden PPj, Datuk Fadlun Mak Ujud, projek ini menekankan integrasi teknologi terkini bagi memantau tahap kebersihan secara masa nyata, mengoptimumkan kecekapan operasi serta meningkatkan pengalaman pengguna sejajar dengan hasrat PPj untuk menjadi peneraju bandar pintar dan mampan di Malaysia.
“Kejayaan ini merupakan satu pengiktirafan besar terhadap dedikasi berterusan PPj dalam mentransformasikan perkhidmatan bandar, sekali gus meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup warga Putrajaya,” katanya.
Anugerah Inovasi MALA 3.0 merupakan inisiatif KPKT yang bertujuan menggalakkan budaya inovasi dalam kalangan PBT di seluruh negara, serta memperkukuh tadbir urus tempatan, memperkenalkan teknologi baharu dan menambah baik mutu perkhidmatan kepada rakyat. – WILAYAHKU