MENGGABUNGKAN dua generasi yang mempunyai pertalian kekeluargaan, buat julung kali Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel bakal berkongsi pentas mega.
Dinamakan Konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025, penonton akan menyaksikan empat penyanyi itu beraksi di Mega Star Arena pada 18 Oktober ini.
Konsert anjuran Anuar Zain Network dengan kerjasama Altus ProHouse itu hakikatnya merupakan gabungan unik antara adik-beradik Ziana dan Anuar bersama anak saudara mereka iaitu Ernie dan suaminya, Syamel.
Menurut Anuar kolaborasi tersebut sememangnya secara peribadi sesuatu yang dinanti-nantikan mereka sendiri.
“Ini adalah sebuah projek yang sangat mengujakan, saya dan kakak, Ziana serta anak buah kami Ernie dan suaminya, Syamel.
“Berada dalam industri sama sebagai penghibur dan pastinya dapat menghiburkan anda atas satu pentas sebagai momen ikonik kami berempat,” katanya.
Beliau berkata idea menganjurkan konsert tersebut telah lama dirancang, namun hanya kini dapat direalisasikan setelah mengambil kira jadual kerja keempat-empat mereka.
Sementara itu, Ziana menyifatkan konsert tersebut sebagai satu temasya istimewa buat peminat untuk menikmati karya dua generasi dalam satu malam.
“Saya juga tidak mahu menjanjikan sesuatu yang luar biasa tapi datanglah dan nikmati Empat Live In Kuala Lumpur 2025.
“Konsert ini juga menjadi bukti peminat tidak hanya menyokong seorang penyanyi kegemaran sebaliknya selalu memberi dukungan kepada industri muzik tempatan,” jelasnya.
Ernie juga tidak ketinggalan menzahirkan debaran, namun teruja apabila dapat bergandingan dengan bapa dan ibu saudaranya yang menjadi idolanya.
“Saya menangis selepas dilamar merealisasikan konsert ini. Empat Live In Kuala Lumpur 2025 adalah sebuah impian saya dari dahulu lagi,” katanya.
Sependapat dengan isterinya itu, Syamel menyifatkan penglibatannya dalam konsert tersebut sebagai peluang luar biasa yang menaikkan lagi tahap karier seninya.
“Ziana Zain, Anuar Zain masing-masing adalah legenda, begitu juga Ernie yang mempunyai reputasi. Kerjasama kami berempat bersama energi masing-masing bakal membuahkan konsep di luar jangka,” kongsinya.
Konsert ini mendapat sentuhan Jennifer Thompson dengan Sze Wan sebagai pengarah muzik. – WILAYAHKU