Selebriti

‘Saya bina masjid ikut undang-undang’ – Amaris

AMARIS (kanan) bersama ahli jawatankuasa tertinggi Masjid Parit Kemang, Batu Pahat, Johor.
- Diterbit 22 Mei 2025 2:37 PM MYT

IMPIAN pelakon yang juga sukarelawan, Putra Amaris tercapai apabila hasratnya mahu membina semula sebuah masjid usang berusia lebih 40 tahun di Parit Kemang, Batu Pahat, Johor, kini sedang dalam pembinaan.

Masjid yang dijangka siap dalam tempoh setahun enam bulan itu dianggarkan memerlukan kos sebanyak RM5 juta.

Dalam masa yang sama, pemilik nama sebenar Muhammad Amran Ismail, 39, ini meluahkan rasa syukur apabila masjid yang bakal dibina semula itu lebih besar.

“Alhamdulillah, saya dan pasukan Kongsi Rezeki berterima kasih kepada semua yang memberi sumbangan. Setakat ini sumbangan yang telah diterima adalah lebih RM2 juta.

“Dalam masa yang sama, kami mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin membuat infak menerusi pembinaan masjid ini.

“Apa yang menarik, masjid yang dibina semula ini lebih besar dan moden apabila ada pihak yang bermurah hati mewakafkan tanahnya di sebelah masjid,” katanya.

Amaris juga mengaku lebih berhati-hati dalam soal pembinaan masjid ini kerana tidak mahu timbul isu lain apabila sudah siap dibina.

“Untuk itu, saya dan pasukan membina semula masjid ini atas kebenaran dan mengikut proses undang-undang. Apabila semua prosedur telah dipenuhi, barulah kami robohkan masjid lama dan membina yang baharu.

“Bagi saya, hal ini sangat penting agar tidak timbul masalah di kemudian hari. Jadi, pastikan betul-betul sah di sisi undang-undang, baru bina masjid,” katanya.

Selain sumbangan orang ramai dan pihak korporat, pasukan Kongsi Rezeki juga menyasarkan jualan sebanyak sejuta kotak biskut dalam kempen Sejuta Kasih MyKu-Kiss untuk mengumpul dana pembinaan masjid itu.

“Sebahagian daripada dana itu diperoleh melalui sumbangan korporat, VIP serta hasil jualan biskut dan kempen infak Ramadan.

“Harapnya jika dana mencukupi, penduduk setempat boleh solat Aidilfitri di masjid ini tahun depan,” katanya.

Selain dana pembinaan masjid, kempen Sejuta Kasih MyKu-Kiss turut menyalurkan hasil jualan kepada lima badan bukan kerajaan (NGO) yang berfokus kepada pendidikan tahfiz, penjagaan orang kurang upaya (OKU) serta bantuan susu dan lampin untuk anak-anak kecil yang menghidap kanser.

Amaris turut menjelaskan bahawa pemilihan lokasi Batu Pahat dibuat berdasarkan faktor kekeluargaan dan sokongan daripada komuniti setempat.

“Kampung isteri saya di Batu Pahat dan dalam masa sama, arwah ibu bapa saya juga berasal dari situ. Ini salah satu usaha kami menyambung legasi mereka dalam berbuat kebajikan,” katanya.

Program Kongsi Rezeki kini memasuki tahun kelima pelaksanaannya dan banyak menyantuni pelbagai lapisan masyarakat termasuk anak yatim, warga emas dan golongan asnaf.

“Kami tak banyak, tapi kami bantu mana yang mampu. Kadang-kadang hanya sekampit beras pun sudah cukup untuk buat mereka senyum. Kami bukan sekadar memberi, tapi juga cuba memahami dan bersama mereka,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh terus menyalurkan infak ke akaun rasmi Masjid Parit Kemang, Batu Pahat atau menyokong kempen melalui pembelian biskut MyKu-Kiss. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas