PAMERAN Setem 2025 yang berlangsung baru-baru ini di Galeri Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Putrajaya, mendapat respons positif termasuk penjawat awam dengan ramai menyifatkannya sebagai usaha tepat dalam menghidupkan semula minat terhadap pengumpulan setem dalam kalangan rakyat Malaysia.
Pameran yang dianjurkan sempena Mesyuarat Exco Federation of Inter-Asian Philately (FIAP) itu menampilkan koleksi setem dan bahan pos sejarah termasuk sampul surat hari pertama, poskad edisi khas serta setem bertemakan patriotisme dan perjuangan rakyat Palestin.
“Saya tak sangka setem mampu bawa kembali kenangan lama dan dalam masa yang sama, buka mata kami terhadap sejarah yang mungkin terlupa. Ia sangat menyentuh hati,” kata pegawai tadbir dari Jabatan Kehakiman Syariah, Ummu Aina Athira Md Nor.

Dalam masa sama, Ketua Penolong Pengarah Kementerian Kesihatan, Syarmilla Yusoff berkata pameran itu dianggap sebagai ruang rehat intelektual dan emosi daripada tugasan harian serta peluang untuk mendalami sejarah negara melalui perspektif yang unik.
“Sebagai penjawat awam, kita harus memahami dan menghargai sejarah negara. Setem ini bukan sekadar kertas, ia dokumen budaya,” katanya kepada Wilayahku.
Menurut Timbalan Pengerusi SPA, Datuk Zohari Said, program anjuran pihaknya dengan kerjasama Persatuan Filateli Malaysia (PSM) itu merupakan satu pendekatan baharu bagi mencetuskan semangat patriotisme dalam kalangan penjawat awam melalui nilai-nilai sejarah yang mampu diterapkan melalui setem dan bahan-bahan berkaitan pos.
Presiden PSM, Muhamed Salim Mohd Ali pula berkata penganjuran pameran itu bertujuan membina semula ekosistem filateli yang semakin pudar dalam arus digital masa kini.
“Reaksi yang kami terima sangat memberangsangkan. Ia adalah bukti bahawa filateli masih hidup dan masyarakat masih menghargai sejarah yang terkandung dalam setem.
“Sambutan luar biasa daripada pengunjung juga mencerminkan keperluan lebih banyak program seumpamanya diadakan di seluruh negara sebagai usaha mendekatkan sejarah dan warisan kepada generasi muda,” katanya.
Pameran tersebut turut menyaksikan pelancaran setem khas dan chop ‘overprint’ edisi terhad yang hanya dikeluarkan sempena acara berkenaan, menjadikannya buruan kolektor dari dalam dan luar negara.
Selain itu, pelbagai acara menarik turut diadakan seperti jualan filateli oleh pihak Pos Malaysia dan pengedar setem, sesi perkongsian hobi mengumpul setem serta lucky draw. – WILAYAHKU