RAFFCOM Technologies Sdn. Bhd. (RAfftech), penyedia perkhidmatan digital rasmi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), melancarkan aplikasi mudah alih SSM e-Info 3.0 serta Program Ganjaran Digital bagi pengguna sistem tersebut.
SSM e-Info memudahkan peniaga dan orang awam untuk mencari, mengakses dan membeli maklumat korporat syarikat serta perniagaan yang diperbadankan dan didaftarkan di Malaysia.

Pengerusi Eksekutif Raftech , Datuk Md Afendi Hamdan, berkata inisiatif itu mencerminkan langkah strategik dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan digital untuk manfaat masyarakat dan komuniti perniagaan di Malaysia.
“Pengguna hari ini mahukan maklumat yang cepat, tepat dan dalam masa sama berbaloi. Dalam dunia digital hari ini, pengguna bukan sekadar mencari maklumat, mereka mahu pengalaman yang lancar dan pantas.
“Selain itu mereka juga mahukan akses yang mudah dan senang serta berbaloi. Jadi kami mengambil langkah berani, mereka bentuk dan membina semula aplikasi mudah alih SSM e-Info, dengan memperkenalkan Versi 3.0,” katanya.
Hanya dengan beberapa klik, pengguna mempunyai akses kepada pelbagai perkhidmatan rasmi di hujung jari.
Penampilan baharu aplikasi itu kini lebih mudah dibaca dan mesra pengguna serta rangkaian perkhidmatan yang komprehensif termasuk maklumat syarikat dan perniagaan seperti sijil penubuhan dan pemfailan berkanun lain diambil secara real-time.
Setakat ini lebih 10 juta entiti berdaftar dan melayani pelanggan dari pelbagai sektor termasuk bank, agensi kerajaan, institusi kewangan dan PKS di seluruh negara.
SSM e-Info juga satu-satunya portal dibenarkan SSM yang menawarkan aplikasi mudah alih secara khusus.
Portal ini turut menyertakan ciri e-dompet, yang diluluskan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk melakukan transaksi bagi memperoleh data syarikat sejak 2013.
Raftech juga menyediakan penyelesaian identiti digital dan pengesahan yang dipercayai bagi menyokong perkembangan ekosistem digital negara.
Dengan versi baharu diperkenalkan itu, Raftech menyasarkan untuk meraih pendapatan sebanyak RM 60 juta daripada portal SSM e-info.
Sejak dilancarkan pada 2006, pertumbuhan portal itu mencatat pertumbuhan yang stabil. Pada 2008 hasil pendapatan dicatatkan hanya RM 200,000 tetapi kemajuan ketara berjaya dicatatkan tahun lalu dengan pendapatan yang mencecah RM 36 juta.