ISU-ISU sensitif seperti 3R (kaum, agama, institusi diraja) antara isu yang terus menjadi topik hangat dalam ruang digital Malaysia.
Walaupun pihak berkuasa telah berkali-kali mengingatkan agar tidak menyentuh isu-isu sensitif ini, masih wujud segelintir pempengaruh dan ‘cybertrooper’ yang berani mencabar garis sempadan undang-undang dan etika komunikasi demi perhatian, pengaruh dan keuntungan digital.
Dalam satu sesi wawancara khas yang berlangsung di pejabat Wilayahku, Putrajaya, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia, SIRAJ JALIL, berkongsi pandangan beliau bersama wartawan AZLAN ZAMBRY berkenaan fenomena ini dari sudut psikologi komunikasi, strategi naratif digital serta krisis tanggungjawab yang kini melanda masyarakat majmuk Malaysia.
Sesi ini turut menelusuri bagaimana naratif 3R digunakan secara strategik dalam membentuk persepsi awam, khususnya dalam kalangan generasi muda, serta keperluan mendesak untuk memperkukuh literasi media dan etika komunikasi dalam menghadapi gelombang digital yang semakin mencabar.
Dari sudut psikologi komunikasi, apakah motivasi sebenar di sebalik tindakan sesetengah pempengaruh dan ‘cybertrooper’ yang tetap menyentuh isu sensitif walaupun sedar ia boleh mengundang tindakan undang-undang?
Motivasi ini sangat kompleks. Ia tidak hanya berpunca daripada keinginan untuk bersuara, tetapi berkait rapat dengan faktor psikologi, ekonomi dan politik. Dari perspektif psikologi komunikasi, manusia terdorong untuk menyampaikan mesej yang mereka percaya mewakili identiti dan nilai mereka. Namun dalam kes pempengaruh dan cybertrooper, motivasi tersebut lebih tertumpu kepada agenda setting yang dikendalikan oleh pihak tertentu.
Teori Agenda Setting menyatakan bahawa pihak berkepentingan seperti pemimpin politik, badan bukan kerajaan (NGO), tokoh agama, ataupun syarikat berkaitan kerajaan atau swasta bertindak sebagai pencorak naratif awam melalui perantara digital. Cybertrooper bergerak tanpa identiti sebenar, sering beroperasi dalam bayang dan mempunyai tugasan jelas yang dibayar untuk menyebarkan atau menenggelamkan sesuatu isu. Pempengaruh pula, walaupun menggunakan identiti sebenar, turut berperanan besar menyebarkan sentimen kerana ia mampu mencipta ‘reach’ yang tinggi dan meningkatkan kadar interaksi media sosial, sekali gus menguntungkan dari sudut kewangan.
Lebih membimbangkan ialah apabila mesej yang disebar bukan sahaja manipulatif, tetapi juga membentuk narrative framing yang menyusup secara halus ke dalam pemikiran masyarakat. Dalam keadaan tertentu, mesej tersebut diselit dengan fakta, namun disusun agar menyokong ideologi tertentu. Maka wujudlah ‘udang di sebalik mi’ dalam komunikasi digital, yang disampaikan seolah-olah demi kebenaran, tetapi sebenarnya mengandungi isyarat politik atau motif dominasi sosial.
Adakah kita sedang menyaksikan satu krisis ‘kematangan politik digital’ dalam kalangan masyarakat?
Kita bukan sekadar menyaksikannya, malah sedang mengalaminya dalam bentuk yang sangat serius. Krisis ini tidak hanya berpunca daripada kekurangan literasi media, tetapi juga akibat tiadanya pendidikan yang sistematik dalam penggunaan internet dan media sosial. Berbeza dengan subjek seperti Sejarah atau Matematik yang diajar secara berstruktur, ilmu komunikasi digital masih belum dianggap sebagai keperluan asas dalam sistem pendidikan kita.
Sebahagian besar rakyat, termasuk golongan muda, tidak pernah diajar bagaimana untuk menilai atau menyaring maklumat digital secara etika. Akibatnya, mereka mudah terjebak dalam manipulatif content, termasuk isu 3R. Tambahan pula, wujudnya kekeliruan dalam kalangan pengguna — adakah menyentuh tentang Melayu, Cina atau India itu salah? Atau hanya salah jika menyentuh raja? Bagaimana pula dengan agama yang dibincangkan dalam ruang akademik dan ilmiah?
Ketidakjelasan sempadan ini membuka ruang kepada eksploitasi. Ramai yang merasakan bahawa mereka hanya memperjuangkan hak identiti kaum atau agama, sedangkan naratif itu boleh mencetuskan ketegangan kaum dan ketidakstabilan sosial. Isu ini menjadi lebih parah apabila warganet yang tidak mempunyai kredibiliti ilmiah atau komunikasi berperanan sebagai rujukan dalam membentuk persepsi awam.
Bagaimana penyebaran kandungan sensitif oleh pempengaruh memberi kesan kepada pembentukan persepsi politik anak muda dan pola polarisasi masyarakat hari ini?
Penyebaran isu 3R secara berleluasa telah memberi kesan langsung kepada pembentukan ideological camps dalam kalangan generasi muda. Kandungan seperti ini mudah menjadi viral kerana ia menyentuh elemen emosi dan identiti. Dalam masa yang singkat, anak muda membentuk persepsi tentang sesuatu kaum, agama atau institusi berdasarkan paparan sepihak yang berulang.
Salah satu kesan paling ketara ialah wujudnya echo chambers — ruang maklumat yang hanya memperkuat kepercayaan sendiri dan menolak pandangan luar. Hal ini membawa kepada polarisasi, iaitu pembentukan dua ekstrem: satu yang menyokong sepenuhnya naratif dominan dan satu lagi yang menolak dengan penuh emosi. Kedua-dua kumpulan ini akhirnya tidak mampu lagi berinteraksi secara rasional, malah menjadikan perbezaan pendapat sebagai medan serangan peribadi.
Sejauh mana tanggungjawab moral dan etika komunikasi perlu ditekankan dalam kalangan pempengaruh, terutama dalam konteks negara majmuk seperti Malaysia?
Tanggungjawab ini sangat kritikal. Dalam negara majmuk seperti Malaysia, sensitiviti terhadap agama, bangsa dan raja bukan hanya soal perundangan, tetapi juga soal moral sosial. Malangnya, kita tidak memiliki sistem pendidikan yang mengajar bagaimana menggunakan media digital secara beretika.
Sama seperti kita perlu mengambil lesen dan mengikuti silibus khas untuk menjadi pemandu jalan raya, pengaruh digital juga patut melalui proses pendidikan formal yang membolehkan mereka memahami impak komunikasi terhadap masyarakat. Jika tidak, ruang digital akan terus dikuasai oleh kandungan sensasi yang merosakkan keharmonian negara.
Adakah kemunculan ‘cybertrooper’ mencerminkan kelemahan institusi politik dalam mengurus komunikasi awam, atau ia sebahagian daripada strategi komunikasi yang disengajakan?
Ia adalah kedua-duanya. Kemunculan cybertrooper bermula sekitar awal 2000-an ketika blog politik dan forum digital mula aktif. Mereka digunakan sebagai alat propaganda oleh parti-parti politik, sama ada untuk menyerang lawan atau untuk mempertahankan imej pemimpin mereka.
Namun kebergantungan kepada cybertrooper juga menunjukkan kegagalan institusi untuk membina naratif yang telus dan berfakta. Strategi komunikasi seperti ini membawa kesan jangka panjang, terutama terhadap trust deficit rakyat kepada pemimpin dan media. Kajian antarabangsa oleh Edelman Trust Barometer menunjukkan kadar kepercayaan terhadap pemimpin politik dan media semakin merosot di Malaysia, dan sebahagiannya disebabkan oleh penggunaan cybertrooper yang tidak beretika.
Apakah peranan institusi pengajian tinggi dan tenaga akademik dalam membentuk naratif komunikasi yang lebih seimbang dan bertanggungjawab?
Institusi pengajian tinggi harus menjadi penanda aras kepada komunikasi yang berpaksikan ilmu dan tanggungjawab. Golongan akademik sepatutnya tidak hanya berada dalam bilik kuliah, tetapi turut menyumbang dalam wacana awam, termasuk membetulkan fakta yang dimanipulasi di media sosial.
Mereka juga berperanan menyediakan pelajar dengan kemahiran literasi digital, media dan undang-undang. Kurikulum komunikasi harus dikemas kini agar seiring dengan cabaran era digital, termasuk memahami cara naratif terbentuk, disebarkan dan bagaimana ia memberi kesan terhadap masyarakat majmuk.
Bagaimana fenomena ‘echo chamber’ dalam media sosial memperkukuh keberanian pempengaruh dan cybertrooper untuk terus menyentuh isu sensitif?
‘Echo chamber’ berlaku apabila algoritma media sosial hanya memaparkan kandungan yang mengukuhkan kepercayaan sedia ada pengguna. Ini menjadikan pengguna yakin bahawa pandangan mereka disokong secara majoriti, walaupun realitinya tidak. Ia memperkukuh keyakinan palsu dalam kalangan pempengaruh dan cybertrooper untuk terus memainkan isu sensitif.
Lama-kelamaan ini membentuk kumpulan ekstrem yang melihat hanya satu sisi realiti. Mereka membentuk ‘tribalisme digital’ yang bukan sahaja menolak fakta, malah menyerang sesiapa sahaja yang berbeza pendapat. Ia mengukuhkan sikap anti-dialog, membenci silang budaya dan akhirnya merosakkan silaturahim serta perpaduan nasional.
Adakah wujud jurang kefahaman terhadap batas undang-undang dan etika komunikasi dalam kalangan pempengaruh muda hari ini, atau mereka sememangnya sedar tetapi memilih untuk bersikap provokatif demi pengaruh dan ‘reach’?
Kedua-duanya berlaku. Ada yang benar-benar tidak faham kerana tiada pendidikan khusus. Tetapi ramai yang sedar dan sengaja bermain dengan api kerana isu 3R memberikan kadar tontonan tinggi dan liputan media. Isu ini sering dimanipulasi untuk meraih sokongan emosi dan meningkatkan kredibiliti dalam kelompok tertentu.
Apa yang membimbangkan ialah apabila mereka mula melihat provokasi sebagai norma, dan tidak lagi merasa bersalah walaupun kandungan mereka mencetuskan ketegangan sosial. Ini menandakan satu krisis moral dalam komunikasi digital yang tidak boleh dibiarkan berlarutan.
Dalam konteks komunikasi bertanggungjawab, sejauh mana pentingnya literasi media dan literasi undang-undang sebagai sebahagian daripada kurikulum pendidikan tinggi, terutama bagi pelajar komunikasi dan media?
Sangat penting. Literasi media bukan sahaja membina keupayaan pelajar untuk mengenal pasti maklumat palsu, tetapi juga memupuk kemampuan mereka untuk menilai, menapis dan mengamalkan komunikasi yang beretika. Literasi undang-undang pula memberikan pemahaman tentang batasan kebebasan bersuara dan tanggungjawab sebagai pengamal media atau warga digital.
Sebagai cadangan, pendidikan literasi ini wajar dijadikan subjek wajib untuk semua pelajar bidang komunikasi, media, sosiologi, dan juga pengajian politik. Ini bagi memastikan wacana digital masa hadapan lebih sihat, progresif dan membina masyarakat yang matang serta inklusif. – WILAYAHKU