SEBANYAK 66 kes penyelewengan subsidi gas petroleum cecair (LPG) berjaya dikesan dalam tempoh dua minggu menerusi pelaksanaan Ops Gasak 2025 yang dilancarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bermula 1 Mei lalu.
Menurut Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam, nilai rampasan setakat ini dianggarkan berjumlah RM875,000, membabitkan pelbagai sektor komersial termasuk restoran berskala besar, dobi layan diri, perkilangan dan penternakan.
“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan LPG bersubsidi. Subsidi ini adalah hak rakyat, bukan untuk dimanipulasi demi keuntungan peribadi,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Azman berkata antara modus operandi yang dikesan termasuk decanting haram, iaitu pemindahan LPG bersubsidi ke tong industri merupakan satu perbuatan yang melanggar undang-undang serta mengancam keselamatan awam.
Ops Gasak 2025 dilaksanakan di bawah inisiatif Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (KITA GEMPUR) dengan penguatkuasaan berlandaskan Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).
Pihak yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta dan penjara sehingga 15 tahun.
Azman turut menjelaskan bahawa kerajaan tidak menarik semula subsidi LPG untuk pengguna yang layak, sebaliknya tindakan ini bertujuan membanteras ketirisan yang mengakibatkan kerugian negara mencecah RM3 bilion setahun.
“Dalam masa sama, KPDN mempergiat program pendidikan pengguna dan sesi advokasi bagi memperjelaskan peraturan dan keperluan Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB) bagi pengusaha yang menggunakan LPG melebihi 42kg pada satu-satu masa, ” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai untuk menyalurkan maklumat dan aduan melalui WhatsApp: 019-848 8000, portal aduan: https://eaduan.kpdn.gov.my, Talian Bebas Tol: 1-800-886-800 dan Aplikasi:,Ez Adu KPDN. -WILAYAHKU