Berita

Rakyat Malaysia diseru bangkit doakan Gaza: Solat Hajat & Qunut nazilah di seluruh negara

Foto: AFP
- Diterbit 20 Mei 2025 3:00 PM MYT

UMAT Islam di Malaysia diseru untuk bangkit bersatu dalam doa dan munajat demi rakyat Palestin yang terus menderita akibat kekejaman rejim Zionis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menyeru agar Solat Hajat dan Qunut Nazilah diadakan secara berjemaah di seluruh masjid dan surau dalam negara sebagai lambang solidariti ummah terhadap Gaza.

“Suasana di Gaza amat genting dan digegarkan dengan serangan dan tekanan yang tidak berperikemanusiaan, ”

“Sebagai umat Islam yang prihatin dan bersaudara, marilah kita bersatu hati memohon pertolongan Allah SWT agar melindungi saudara-saudara kita di sana daripada sebarang bentuk kezaliman dan kemusnahan,” tegas beliau dalam kenyataan hari ini.

Mohd Ma’am turut menyeru kepada semua imam masjid dan surau di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), agar memimpin bacaan Qunut Nazilah dalam solat Subuh, Maghrib dan Isyak.

“Selain Qunut Nazilah, umat Islam harus memperbanyakkan doa khusus demi keselamatan rakyat Palestin dan pembebasan bumi Al-Quds daripada cengkaman penjajah.

“Semoga usaha ini menjadi manifestasi solidariti umat Islam Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin dan mendapat ganjaran besar di sisi Allah SWT,” tambahnya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas