Berita

Gantikan DJ Lin… Irsyad jadi barista maya di Kafe Suria

IRSYAD menggantikan tugas DJ Lin dalam mengendalikan segmen malam.
- Diterbit 20 Mei 2025 9:35 AM MYT

SURIA FM mengumumkan penyertaan Muhammad Irsyad Tarudin, atau lebih dikenali sebagai Irsyad, sebagai penyampai menerusi segmen malam terbaharu, Kafe Suria.

Memulakan tugas secara rasmi pada Isnin (semalam) dan akan ke udara setiap Isnin hingga Jumaat, dari jam 8.00 malam hingga 12.00 tengah malam.

Kafe Suria diinspirasikan daripada suasana kafe moden yang mesra, santai dan penuh dengan elemen interaksi dan informatif.

Dalam peranannya, Irsyad tampil lebih daripada seorang penyampai, dia adalah ‘barista maya’ yang menyambut dengan ramah, berbual dengan tenang, mendengar dengan empati dan menceriakan malam pendengar dengan kombinasi lagu popular dari pelbagai genre.

Konsep ini dirangka khas untuk menarik minat golongan anak muda yang mahukan hiburan berinformasi, cepat, dan relevan dengan trend semasa. Dari isu viral, budaya popular, hingga topik harian dan kerjaya, Kafe Suria menyajikan kandungan yang berakar pada realiti generasi kini.

Ia menjadi pilihan ideal untuk mereka yang ingin berehat selepas seharian bekerja, belajar mahupun bagi yang inginkan peneman untuk untuk berkongsi curahan hati serta memahami apa yang mereka ingini.

IRSYAD menggantikan tugas DJ Lin dalam mengendalikan segmen malam.

Segmen popular Suria Cinta yang dikendalikan oleh DJ Lin akan mula bersiaran pada hujung minggu, Sabtu dan Ahad bermula 8.00 malam hingga 1.00 pagi.

Apabila ditanya tentang perasaan beliau menggantikan tugas DJ Lin dalam mengendalikan segmen malam menggantikan Suria Cinta yang cukup popular dalam kalangan pendengar dan telah berjaya mendapat pelbagai pengiktirafan, Irsyad menganggap bahawa perubahan ini bukan satu tekanan atau bebanan, sebaliknya peluang terbaik untuknya terus mengenengahkan bakat yang ada pada dirinya serta memberikan sentuhan dan kelainan tersendiri.

“Saya tidak datang untuk mengubah suasana yang telah terbina, sebaliknya menghormati legasi itu sambil membawa elemen baharu yang lebih segar dan sesuai dengan selera generasi muda.

“Saya yakin dengan hala tuju yang ditetapkan oleh pihak pengurusan Suria FM, dan Kafe Suria hadir untuk mendekati pendengar dengan gaya yang lebih santai, moden dan mengikut arus semasa,” katanya.

Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid (DJ Lin), kehadiran Irsyad mampu membawa pendekatan yang lebih segar dan dekat dengan jiwa pendengar.

“Untuk peminat Suria Cinta pula, jangan bimbang kerana susunan lagu yang menjadi identiti malam Suria termasuk lagu-lagu jiwang dan nostalgia era 90-an akan terus diputarkan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Irsyad atas kesudiannya menyertai keluarga Suria FM dan berharap perubahan ini akan memantapkan lagi kandungan yang kami tawarkan kepada pendengar di SURIA. – WILAYAHKU

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas