Berita

Program Seni Visual Strategi Pemasaran Digital beri impak positif belia Labuan

- Diterbit 19 Mei 2025 3:30 PM MYT

SERAMAI 40 belia berusia antara 18 hingga 40 tahun menyertai dan menamatkan Program Intervensi Pemerkasaan Ekonomi: Seni Visual dan Strategi Pemasaran Digital yang berlangsung, baru-baru ini.

Menurut Pegawai Penyelaras Program, Rizuan Nawawi, tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai asas fotografi dan strategi pemasaran digital, khususnya penggunaan media sosial sebagai platform promosi produk jualan.

Katanya, peserta telah didedahkan kepada teknik seni visual serta penghasilan kandungan kreatif untuk platform digital, sekali gus memperkukuh kemahiran mereka dalam bidang keusahawanan dan digital.

“Melalui pendekatan praktikal dan interaktif, program ini diharap dapat membantu peserta membina keyakinan diri dan memanfaatkan kemahiran yang diperoleh untuk menjana pendapatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam program itu turut menampilkan dua penceramah jemputan khas iaitu jurufoto bebas Abdul Muqtadir Halim dan Mohd Daniel Ramadhan Abdullah berkongsi pengalaman serta kepakaran masing-masing dalam bidang fotografi dan penghasilan kandungan visual.

Program yang berlangsung dari 17 hingga 18 Mei itu dianjurkan bersempena Sambutan Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan 2025.

Majlis penutupan rasmi program itu disempurnakan oleh Penolong Pengarah Belia, Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Labuan,Tracy Tumay Rigar. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas