Berita

Arshela Abdullah angkat martabat wanita Malaysia di Miss Icon International 2025

- Diterbit 16 Mei 2025 3:18 PM MYT

ARSHELA Abdullah, yang baru sahaja dinobatkan sebagai Miss Icon Malaysia 2025, bakal mewakili negara di pentas Miss Icon International 2025 yang akan berlangsung di Phnom Penh, Kemboja dari 18 hingga 26 Mei ini.

Dalam kenyataannya, beliau menzahirkan rasa syukur serta semangat untuk membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.

“Saya berbesar hati mewakili Malaysia di pentas global.

“Ini peluang untuk membuktikan bahawa bakat tempatan mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Terima kasih kepada semua penyokong!,” ucapnya.

Berketurunan Iban dan Bugis dari Sarawak, Arshela membawa identiti budaya Malaysia ke peringkat antarabangsa, dan menjadi contoh gadis muda yang bangga dengan asal-usulnya.

Arshela bukan pendatang baru dalam dunia ratu cantik. Beliau telah mencipta nama menerusi gelaran Miss Petite Sarawak 2019, Miss Petite Global Borneo 2022, dan menjadi 1st Runner-Up Miss Global Asian 2025, mewakili Borneo.

Namanya juga pernah disenaraikan dalam Top 21 Miss Supranational 2021, dan beliau memenangi Anugerah Bakat Terbaik di Miss Global Asian 2025 melalui persembahan lagu My Heart Will Go On.

Sebagai seorang yang aktif mempromosi budaya dan pemerkasaan wanita, Arshela menggunakan platform ratu cantik sebagai saluran untuk memberi inspirasi dan menyebarkan mesej positif kepada masyarakat.

Pertandingan Miss Icon International bukan sekadar menilai kecantikan luaran, tetapi turut merangkumi aspek intelek, bakat, dan sumbangan sosial. Arshela kini menjalani latihan intensif menjelang pertandingan tersebut.

Latihan yang dijalani merangkumi komunikasi, pengucapan awam, persembahan bakat, catwalk, serta persiapan mental dan fizikal untuk menghadapi saingan di pentas antarabangsa.

Dalam usaha menjayakan misi ini, pasukan Arshela turut mengalu-alukan peluang penajaan untuk menampung kos pakaian, latihan dan perjalanan, yang dianggarkan berjumlah RM10,500.

Penaja akan menerima pendedahan melalui penampilan logo pada pakaian rasmi, liputan media sosial, serta jemputan ke acara eksklusif berkaitan pertandingan dan sambutan selepas pulang ke tanah air.

Dengan sokongan padu dan semangat tinggi, penyertaan Arshela di Miss Icon International 2025 dilihat bukan sahaja sebagai pertandingan, tetapi satu usaha meletakkan Malaysia di mata dunia melalui keunikan budaya dan kekuatan peribadi seorang wanita muda. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas