SERAMAI 64 warganegara asing terdiri daripada 57 lelaki dewasa warganegara Bangladesh, 5 lelaki dewasa warganegara India, dan 2 lelaki dewasa warganegara Pakistan dihalang daripada
memasuki Malaysia dalam satu operasi pemantauan berkala oleh Unit Pemantau Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, hari ini.
AKPS dalam kenyataan memaklumkan, hasil siasatan lanjut di Pejabat Operasi mendapati kesemua 64 individu tersebut tidak memenuhi syarat kemasukan.
“Beberapa daripada mereka turut dikesan menggunakan taktik penipuan bagi mengaburi pihak berkuasa, termasuklah penggunaan dokumen palsu seperti tempahan hotel yang tidak sah serta tiket
penerbangan pulang yang tidak wujud atau direka.
“Dalam operasi tersebut, pemeriksaan rambang telah dilakukan ke atas 330 warganegara asing dari pelbagai negara. Tumpuan diberikan kepada individu yang berkelakuan mencurigakan dan berlegar-legar di sekitar balai ketibaan tanpa terus ke kaunter pemeriksaan imigresen. Mereka yang ditahan akan dihantar pulang ke negara asal masing-masing,” ujar kenyataan itu.
Tegas AKPS, pemantauan dilaksanakan selaras dengan Tatacara Kerja Piawai (ATKPI), Arahan Pentadbiran, dan arahan semasa bagi memastikan keselamatan serta kawalan sempadan berada pada tahap tertinggi.
“Komitmen untuk terus memperkukuh usaha dalam memastikan
kedaulatan serta keselamatan sempadan negara sentiasa terpelihara daripada sebarang unsur pencerobohan, penipuan mahupun ancaman lain,” katanya. – WILAYAHKU