PENDEKATAN rawatan penagihan dadah di Malaysia kini melangkah ke era baharu apabila Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melancarkan manual rawatan rasmi bertajuk Diagnosa disusuli pemerkasaan sistem analitik berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi kerjasama strategik bersama Pusat Geospatial Negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menyifatkan penerbitan Diagnosa sebagai titik perubahan profesional bagi lebih 3,000 pegawai pemulihan AADK, memandangkan ia menjadi rujukan utama dalam melaksanakan intervensi terhadap penagih secara sistematik sama ada yang hadir sukarela mahupun atas arahan mahkamah.
“Buat julung kali, AADK mempunyai dokumen piawaian rawatan yang lengkap. Ini bukan sekadar manual dan ia adalah bukti kematangan institusi rawatan dadah negara,” katanya dalam Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman.
Saifuddin turut mengumumkan pembangunan sistem pelaporan dan analisis bersepadu berdasarkan Malaysia Drug Profiling System, yang membolehkan AADK meramal kawasan berisiko tinggi menerusi pemodelan ramalan (predictive modelling) dan seterusnya merangka pelan pencegahan bersasar lebih awal.
Antara daerah yang dikenal pasti berisiko tinggi termasuk Pendang, Kuala Krai, Pasir Puteh dan Tanah Merah – kawasan yang mencerminkan tumpuan baharu operasi penguatkuasaan serta program intervensi komuniti.
“Penurunan 10.5 peratus kes penagih baharu pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu adalah hasil tindakan agresif menutup laluan tikus serta usaha kesedaran di kawasan sempadan,” ujar beliau, sambil menyatakan hanya 108,000 kes penagihan direkodkan setakat ini berbanding 121,000 pada 2024.
Beliau turut memberi amaran tentang ancaman sosial yang lebih besar, memandangkan 60 peratus daripada penagih baharu adalah belia berumur antara 15 hingga 35 tahun, majoritinya lepasan SPM dan menganggur – profil demografik yang menurut data, sangat terdedah kepada terlibat dalam sehingga 28 jenis jenayah lain.
“Pencegahan awal dan pemulihan bukan lagi pilihan malah ia adalah keperluan keselamatan nasional,” tegas beliau.
Mengulas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas tiga pegawai KDN, beliau menegaskan prinsip tidak campur tangan dan menyerahkan sepenuhnya kepada agensi siasatan tersebut.
Ujarnya, SPRM mempunyai 24 jam sehari untuk melakukan tugas sesuai dengan tanggungjawab mereka dan beliau konsisten dengan pendirian itu.
“Team ni memang sudah ada pendakwaan ke atasnya lama sebelum saya jadi menteri. Sudah pun ada pendakwaan di bawah Financial Monetary Act. Atas sayalah, dah ada charge, dan pada ketika charge itu dikenakan pada dia, sudah pun ada red notice, lah.
“Ini bukan benda baru pun. Dengan itu saya hendak sebutlah, kalau kita, rakan-rakan, follow perkara itu, saya juga follow,” katanya.
Beliau menegaskan pihaknya menyifatkan bahawa ia adalah tanggungjawab menegakkan undang-undang kerana Malaysia adalah negara berdaulat.
“Jadi kalau ada satu pertuduhan ke atas seseorang, kita lakukan mengikut lunas hukum negara kita dan kita negara berdaulat. Kerana dia merupakan warga asing, maka sudah tentu kita gunakan saluran yang berkenaan dan itulah dilakukan sebelum ini,” katanya.-WILAYAHKU