Berita

Indeks Kebebasan Media: Ketengah suara berbeza

- Diterbit 11 Mei 2025 12:45 PM MYT

TERDAPAT beberapa penambahbaikan dalam ekosistem media sedia ada di Malaysia yang berkemungkinan mempengaruhi peningkatan Indeks Kebebasan Media Dunia 2025.

Menurut Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Bahasa Moden & Komunikasi Fakulti Bahasa & Komunikasi
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Nazra Aliff Nazri, ia termasuk
peningkatan tahap keterbukaan terhadap laporan dan pandangan pelbagai pihak, serta usaha memperkukuh struktur undang-undang dan dasar berkaitan media.

“Peranan institusi media yang lebih aktif dalam melaporkan isu-isu masyarakat secara bertanggungjawab juga menyumbang kepada penilaian yang lebih positif oleh pihak antarabangsa.

“Tambahan lagi, peranan media digital khususnya media baru yang semakin dominan dalam menyampaikan maklumat secara pantas dan inklusif turut menjadi pemangkin kepada landskap media yang lebih terbuka dan responsif.

“Media digital, dengan capaian luas dan sifat interaktifnya, membolehkan suara-suara berbeza diketengahkan dan mendorong dialog awam yang lebih dinamik sekali gus menjadi pendorong kepada kepada kenaikan mata dalam Indeks Kebebasan Media,” ujar beliau kepada Wilayahku.

Katanya, untuk terus mencapai kedudukan yang lebih baik, adalah penting untuk memperkukuh ekosistem media secara lebih dinamik dan holistik.

“Ini termasuk memperluas akses kepada latihan kewartawanan profesional, menggalakkan media yang inklusif dan berimbang, serta menambah baik aspek keselamatan digital untuk pengamal media dan juga pengguna media itu sendiri.

“Pendidikan yang lebih komprehensif terhadap literasi media juga harus diberikan penekanan, bukan sahaja kepada wartawan, tetapi juga kepada pengguna media, agar budaya maklumat yang matang dan bertanggungjawab dapat dibina bersama,” kata beliau.

Mengulas lanjut, Nazra berkata, media turut berdepan dengan tekanan digital seperti penyebaran maklumat palsu dan algoritma media sosial yang sangat mencabar kredibiliti berita.

“Namun, pada saya, dalam konteks masa kini, cabaran sebenar ialah bagaimana untuk mengekalkan integriti dan juga etika kewartawanan dalam persekitaran yang serba mencabar dan pantas berubah.

“Pelbagai langkah boleh dilakukan seperti menggalakkan kolaborasi antara agensi kerajaan, institusi media dan akademik untuk meningkatkan standard kewartawanan sedia ada di Malaysia.

“Selain itu, penting juga untuk menyediakan persekitaran yang menyokong kebebasan bersuara dalam ruang yang bertanggungjawab dan beretika.

“Terakhir sekali adalah untuk menyokong usaha penyelidikan dan inovasi dalam bidang media, khususnya yang berkaitan keselamatan digital dan pelaporan data,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas