PERANAN artis dan selebriti bukan setakat menghiburkan masyarakat semata-mata tetapi turut menjadi pencetus semangat serta motivasi.
Ini turut diakui oleh Yang Dipertua Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bomba dan Penyelamat Malaysia (Perisma) peringkat kebangsaan, Datin Neta Abdul Hamid, 49.
Neta akui terharu dengan sokongan yang diberikan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan penyampai radio Gegar, Fizie Roslan terhadap anggota bomba.


Beliau menganggap sokongan selebriti menjadi motivasi buat Perisma untuk terus berbakti.
Siti dan Fizie antara selebriti yang cakna dengan pengorbanan para anggota bomba yang terlibat dalam operasi pemadaman kebakaran ladang kelapa dan hutan seluas 176 hektar di Gebeng, Pahang, Mac lalu.
“Saya mewakili Perisma mengucapkan jutaan terima kasih kepada Siti Nurhaliza dan Fizie yang memberi sumbangan dan sokongan moral kepada anggota bomba.
“Satu penghargaan buat kami apabila Siti yang juga pengasas Yayasan Nurjiwa memberi perhatian dan sumbangan kepada anggota bomba menerusi Perisma.
“Begitu juga dengan Fizie Roslan yang turun ke lokasi kebakaran bersama Pengerusi Perisma Pahang dan team produk Mineral Essence menyantuni anggota bomba sebelum ini.
“Sokongan mereka sebenarnya sangat memberi kesan positif serta jadi motivasi buat kami di Perisma. Hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya,” katanya.
Neta berkata demikian selepas acara Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia Tahun 2025 yang berlangsung di padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1, Pahang, baru-baru ini.
Turut hadir ialah Timbalan Yang Dipertua Perisma Kebangsaan, Datin Batiyah Bakar dan Pengerusi Perisma Pahang, Suraya Jusoh.


Menurut Neta, sokongan selebriti secara tidak langsung membuka mata orang ramai tentang fungsi dan peranan penting yang dimainkan Perisma.
“Jujur dari hati, saya berbesar hati apabila Siti Nurhaliza pun menunjukkan sokongan terhadap peranan kami sebagai Srikandi Wira Merah.
“Kalau Biduanita Negara sokong Perisma, diharapkan pihak lain juga bersemangat untuk membantu golongan memerlukan bersama-sama kami,” ujarnya.

Kata orang, di sebalik kejayaan seorang lelaki, ada wanita di belakangnya. Begitulah pentingnya peranan Perisma.
“Kami sentiasa berdoa dan memberikan kata-kata semangat apabila suami berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam melaksanakan tugasan sebagai anggota bomba.
“Dalam masa yang sama, Perisma menjalankan amanahnya untuk menjaga kebajikan isteri-isteri bomba dan anggota bomba wanita.
“Sebenarnya kebajikan yang diberikan kepada mereka itu disampaikan dalam pelbagai bentuk. Misalnya apabila ada pegawai bomba wanita atau isteri anggota bomba yang sakit atau ditimpa bencana, kami akan bantu dari segi kewangan dan berusaha memenuhi bantuan yang diperlukan.
“Bukan itu sahaja, Perisma juga memainkan peranan apabila mana-mana keluarga anggota bomba yang susah atau mengalami kesukaran hidup, kami akan usahakan yang terbaik.
“Tidak cukup dengan itu, kebajikan yang kami sediakan juga termasuklah menekankan soal kemahiran dalam diri setiap ahli. Ini adalah sebagai persediaan ahli untuk membantu suami dalam menambah pendapatan.
“Misalnya kami anjurkan kelas memasak dan kursus kecantikan. Ini penting untuk meningkatkan keyakinan dalam diri juga,” ujarnya.

Neta juga berharap, Perisma akan terus dikenali dengan peranan penting yang dibawa.
“Perisma bukan hanya tempelan kerana kami membawa fungsi yang sangat penting kepada anggota bomba.
“Kalau ada yang cakap Perisma ini hanya tempelan dan nak menumpang populariti kerjaya bomba, itu silap. Perisma mempunyai peranan tersendiri,” katanya.

Sementara itu, Suraya Jusoh, menzahirkan ucapan terima kasih buat semua ahli Perisma Pahang yang menyertai perbarisan sempena Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia Tahun 2025 yang berlangsung pada 5 Mei baru-baru ini.
“Saya berbangga dengan komitmen serta kesungguhan yang ditunjukkan. Saya tahu tidak mudah untuk menyertai perbarisan itu kerana kita sebagai isteri mempunyai banyak tugasan hakiki di rumah.
“Nampaknya semangat kuat mereka mengatasi segala-galanya walaupun cuaca agak panas. Siap boleh senyum lagi di hadapan Pentas Diraja.
“Dalam hal ini, apa yang lebih penting Perisma harus terus dikenali kerana peranan pentingnya. Bukan hanya tempelan.
“Harapan saya agar ahli-ahli Perisma sama ada di peringkat kebangsaan mahu pun negeri, akan sokong segala aktiviti yang dijalankan. Bagi saya, sokongan ini sebenarnya sekaligus dapat menaikkan nama Perisma itu sendiri,” katanya. – WILAYAHKU