Berita

Tokoh korporat bergelar Tan Sri disiasat berkait saham Sapura Energy RM500 juta

- Diterbit 8 Mei 2025 4:45 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan terhadap seorang tokoh korporat bergelar Tan Sri kerana disyaki terlibat amalan pengubahan wang haram membabitkan pemilikan saham Sapura Energy Berhad (SEB) bernilai lebih RM500 juta.

Menurut sumber, siasatan juga menjurus kepada unsur rasuah melibatkan beberapa pelaburan selepas penggabungan Sapura Kencana Petroleum Berhad (SKPB) dan Sapuracrest Petroleum Berhad yang kemudian dikenali sebagai SEB.

“Siasatan dan penggeledahan juga telah dijalankan di beberapa lokasi iaitu di syarikat Sapura@Mines, Menara Permata Sapura (Sapura Holdings Sdn Bhd) selain kediaman tokoh korporat terbabit di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya.

Jelas sumber, fokus siasatan adalah menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, iaitu kesalahan salah guna kuasa dalam isu ganjaran (gaji, bonus dan syer), branding fee dan private placement dari 2012 hingga 2021.

Malah katanya, siasatan juga sedang mengenal pasti kesalahan pecah amanah, salah guna dana dan pemalsuan di bawah Kanun Keseksaan.

“Tan Sri tersebut telah dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM untuk rakaman percakapan pada 5 dan 6 Mei lalu bagi membantu siasatan. Tiada sebarang tangkapan dilakukan setakat hari ini,” katanya.

Sumber memberitahu, sebanyak 83 akaun bank milik lima individu dan 15 syarikat melibatkan nilai kira-kira RM158.26 juta telah dibekukan susulan siasatan ini.

“Tindakan penyiasatan tatakelola juga akan dijalankan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas