SERAMAI 20 warga asing dicekup atas melakukan pelbagai kesalahan dalam Ops Gegar Sasar yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Labuan di beberapa tapak pembinaan di sini, semalam.
Menurut Pengarah JIM Labuan Raymond Entalai, operasi itu dilaksanakan serentak di tiga tapak pembinaan yangbermula pukul 10.30 pagi itu melibatkan kekuatan 21 pegawai JIM serta dibantu 10 anggota daripada Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara.
Katanya, hasil pemeriksaan seramai 48 orang telah diperiksa dan daripada jumlah itu seramai 20 orang warganegara asing ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada 16 orang lelaki dewasa seorang perempuan dewasa (Filipina) dan tiga orang lelaki dewasa (Indonesia). Kesemua warga asing yang ditahan berumur di antara 17 hingga 60 tahun.
“Selain itu, JIM Labuan turut mengeluarkan Saman Saksi kepada tiga majikan untuk tujuan siasatan selanjutnya,”katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Kesemua tahanan telah dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa JIM bagi proses dokumentasi sebelum ditempatkan di Lokap Ibu Pejabat Polis (IPD) Labuan dan Depot Imigresen Labuan untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.
“Operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secaraberterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan memindahkan warganegara asing yang melakukan kesalahan di bawah akta dan peraturan Imigresen,”tegasnya. – WILAYAHKU.