KERAJAAN MADANI melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memperkenalkan pelaksanaan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) secara elektronik (e-Cert) bermula 5 Mei 2025.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee memberitahu, ia selaras dengan agenda Pendigitalan Perkhidmatan Awam yang dihasratkan dapat menyumbang kepada peningkatan
kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.
“Semua permohonan SPHM yang telah diluluskan dalam Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia peringkat JAKIM/ MAIN/ JAIN pada atau selepas 5 Mei 2025 akan diproses secara elektronik
(e-Cert).
“Pemohon yang telah mendapat pengesahan kini boleh mencetak sendiri SPHM melalui sistem MYeHALAL. Sekiranya pihak syarikat masih memerlukan SPHM dalam bentuk
fizikal yang dicetak dan disahkan oleh JAKIM/MAIN/JAIN, permohonan rasmi hendaklah dikemukakan melalui surat rasmi,” ujar beliau dalam kenyataan.
Katanya, segala urusan percetakan sijil secara fizikal dikategorikan sebagai
Cetakan Semula SPHM dan akan dikenakan bayaran selaras dengan Klausa 13, Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020.
“JAKIM sentiasa komited dalam memastikan nilai daya cipta iaitu
pembaharuan dan pengupayaan modal insan yang terkandung dalam teras Malaysia Madani dapat direalisasikan meliputi urusan pensijilan halal.
“Komitmen ini dizahirkan melalui sokongan terhadap inisiatif digitalisasi selaras dengan perkembangan teknologi
maklumat masa kini, sekali gus mengurangkan kerenah birokrasi
dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada
pelanggan,” ujar beliau. – WILAYAHKU