Biz

Fantastic Food Fest kembali, bantu usahawan IKS seluruh negara

NABILAH (kanan) bersama Nadia ketika menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalinkan kerjasama menjayakan FFF.
- Diterbit 8 Mei 2025 7:00 AM MYT

BERMULA dengan perniagaan butik pada tahun 2015 sebelum mengembangkan perniagaan kepada bidang kosmetik, Nabilah Baharin, 34, tidak pernah kenal erti putus asa untuk menceburi pelbagai rangkaian produk sehinggalah kini berjaya menembusi sektor makanan dan minuman (F&B).

Mesra dipanggil Kak Nab, sebelum aktif dalam lapangan F&B, dia dikenali dengan pembabitan awalnya sebagai pengulas makanan di media sosial.

“Saya bermula dari bawah, semua saya buat, apabila semakin dikenali dan mempunyai pengikut di laman sosial, saya terfikir untuk membuat sesuatu yang turut membantu usahawan menjana pendapatan terutamanya suri rumah.

“Maka dengan itu, wujudlah Fantastic Food Fest (FFF) yang merupakan festival bagi peminat makanan viral. Tahun ini merupakan tahun ke-11 kita berjaya laksanakan,” ujarnya.

Tidak lokek berkongsi kejayaan kepada suri rumah di luar sana, Kak Nab berkata, di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalan.

“Set target and goal apa yang kita nak dalam hidup ini. Nak buat duit sangat senang. Suri rumah kalau nak mulakan bisnes jual sahaja barang yang selalu orang pakai contohnya minyak wangi pun boleh.

“Tetapi kena ingat cabaran dalam bisnes ini banyak dan bohonglah kalau saya kata tak ada masalah. Contohnya, kalau saya jatuh, saya akan ambil masa dua hari untuk bangkit semula.

“Saya berjiwa bisnes dan perlukan semangat yang kental untuk menghadapi segala yang berlaku. Bila ceburi bidang perniagaan ini, kena kuat semangat dan perlu ada target bila nak berjaya,” pesannya.

Kongsinya lagi, dalam perniagaan, seseorang itu mesti bergerak dalam pasukan bukan secara bersendirian.

“Buat bisnes kena ada tim, tak boleh buat seorang diri. Kita ada keluarga, anak-anak jadi kalau balik rumah, kita fokus pada suami dan anak-anak. Jangan abaikan mereka kerana tiada ertinya berjaya tanpa insan-insan yang penting bersama,” ujarnya yang turut melibatkan anak-anak dalam konten di media sosial.

Berbalik kepada FFF, Kak Nab berkata, festival tersebut akan kembali dengan edisi ke-11 pada 8 hingga 11 Mei 2025 berlangsung di Bertam Square, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Selepas kejayaan FFF di Alor Setar yang mencatat lebih 500,000 pengunjung, kali ini Bertam dipilih sekali lagi dan dijangka dapat menarik lebih ramai pengunjung, khususnya dari sekitar utara Semenanjung Malaysia.

“Kita akan himpunkan lebih 130 vendor, terdiri daripada pengusaha produk viral dan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dari seluruh negara.

“40 hingga 60 peratus vendor yang terlibat merupakan individu atau syarikat yang pernah saya review secara peribadi. Vendor akan tampil dengan kostum mengikut tema tertentu seperti watak filem atau elemen tradisional menjadikan pengalaman pengunjung bukan sekadar tentang makanan, tetapi hiburan dan visual yang menarik.

“Lebih menarik, festival ini turut diserikan dengan penyertaan selebriti seperti Azza Elite, Cat Farish Datuk Nash dan mungkin Abby Abadi. Ini memberikan nilai tambah kepada suasana festival yang sememangnya sudah padat dengan aktiviti dan jualan makanan viral,” ujar Kak Nab lagi.

Mengulas lanjut tentang isu berkaitan logistik dan kesesakan yang pernah timbul, Kak Nab menjelaskan bahawa kejayaan sesuatu acara sememangnya sukar dipisahkan dengan cabaran tersebut.

“Saya sentiasa memastikan aspek akses dan keselesaan pengunjung diberi keutamaan. Tambahan pula, FFF turut mempunyai pasukan media yang membantu vendor dalam mempromosikan produk terutamanya yang berdepan dengan masalah jualan,” ujarnya.

Dalam masa sama, Kak Nab berkata, penganjuran kali ini turut bekerjasama dengan Nadia Mat Isa atau dikenali dengan panggilan Kak Yaya yang merupakan pengasas Yaya Empire Perfume.

“Diharapkan ini menjadi satu platform terbaik untuk para usahawan memasarkan produk seterusnya menjana pendapatan lumayan dengan pelbagai kelainan dan kemeriahan berganda bagi pengunjung yang datang.

“Selain menyediakan platform jualan dan promosi, Yaya Empire turut menyumbang kepada festival dengan membawa barisan artis dan selebriti popular seperti Ara Johari dan Afieq Shazwan, menjadikan acara ini semakin menarik dan pelbagai, ” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas