Agama

Akhlak, integriti pemimpin 

- Diterbit 7 Mei 2025 1:29 PM MYT

DALAM usaha merealisasikan gagasan Malaysia Madani, para pemimpin negara diseru menampilkan akhlak yang tinggi sebagai tunjang kepada legasi kepimpinan yang lestari.

Perkara itu ditegaskan pendakwah, Abdul Qayyum M Suhaimi dengan konsep kepimpinan Islam berpaksikan nilai moral dan integriti merupakan asas kukuh kepada pembinaan budaya madani yang seimbang dari sudut rohani dan fizikal.

Beliau merujuk hadis riwayat Baihaqi, Ahmad dan Al- Hakim yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW diutuskan bagi menyempurnakan akhlak yang mulia.

Hadis ini katanya jelas menunjukkan elemen akhlak mulia merupakan faktor penting di samping kompetensi dan sikap amanah seseorang pemimpin itu sendiri.

ABDUL QAYYUM

“Kepimpinan Islam bukan semata-mata soal mentadbir. Ia adalah satu amanah yang memerlukan pemimpin untuk menjadi qudwah – contoh kepada rakyat.

“Budaya Madani akan kekal slogan kosong jika tidak diterjemahkan dalam bentuk akhlak pemimpin yang hidup dan berfungsi dalam masyarakat,” jelas beliau ketika ditemui Wilayahku.

Dalam menghadapi krisis kepercayaan terhadap institusi dan pemimpin, beliau menegaskan bahawa legasi akhlak merupakan ukuran sebenar kejayaan sesebuah kepimpinan.

“Rakyat tidak hanya menilai prestasi ekonomi atau kemajuan infrastruktur. Mereka menilai kejujuran, ketelusan dan adab dalam membuat keputusan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kegagalan pemimpin menampilkan akhlak yang terpuji mampu mencemarkan keseluruhan gagasan Madani.

“Islam memberi amaran yang keras terhadap kepimpinan yang zalim dan munafik.

“Ia bukan sekadar mencemarkan nama peribadi pemimpin itu, tetapi memberi kesan domino terhadap imej agama, budaya dan aspirasi rakyat. Pemimpin ialah cerminan ummah,” tegas beliau.

Menyentuh soal pembinaan pemimpin berakhlak, beliau menyeru kepada penekanan nilai dalam pendidikan sejak peringkat awal.

“Kita perlukan sistem pendidikan dan latihan yang memupuk nilai amanah dan tanggungjawab, bukan hanya kemahiran teknikal.

“Madani tidak akan lahir daripada sistem yang membentuk pemimpin berfikir untuk menang semata-mata, tetapi daripada sistem yang membentuk jiwa untuk berkhidmat,” tegasnya.

Mengulas contoh-contoh dalam sejarah Islam, beliau menamakan tokoh-tokoh seperti Rasulullah SAW, Khalifah Umar Al-Khattab dan Umar Abdul Aziz sebagai manifestasi kepimpinan yang tinggi akhlaknya dan kekal relevan untuk dijadikan rujukan.

“Nilai keadilan, ketegasan terhadap penyelewengan, sifat zuhud dan belas kasihan – semua ini adalah nilai akhlak yang membentuk tamadun.
“Jika kita benar-benar mahu mewariskan budaya Madani, maka pemimpin hari ini perlu mewarisi semangat dan akhlak pemimpin terdahulu,” katanya.

Budaya Madani, menurut beliau bukan sekadar naratif pentadbiran, tetapi agenda pemulihan jiwa negara.

“Ia hanya akan berjaya jika digerakkan oleh pemimpin yang tidak hanya bercakap tentang nilai – tetapi hidup dengannya,” katanya.

Peranan pemimpin sangat memberi kesan yang besar kepada masyarakat.
Pemimpinlah yang akan menentukan generasi bagaimana yang akan dibentuk sama ada masyarakat dengan akhlak mulia ataupun masyarakat toksik yang sentiasa mencari kesalahan orang lain.

Gagasan Madani yang digariskan kerajaan kini, harus merangkumi seluruh aspek kehidupan seseorang bukan sekadar terhadap polisi dan dasar sahaja, tetapi atas setiap individu di Malaysia perlu menerapkan nilai Madani dalam diri masing-masing. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas