Berita

Ops Gasak: KPDN gempur lori & LPG bersubsidi bernilai RM450,000

- Diterbit 6 Mei 2025 7:30 PM MYT

CUBAAN satu sindiket menyeleweng gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi tumpas apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggempur sebuah stor haram dalam Operasi Gasak di Kawasan Industri Ringan di sini pada 30 April lalu.

Menurut Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam, serbuan sekitar pukul 9 malam itu dilakukan hasil risikan rapi oleh pasukan penguat kuasa KPDN Putrajaya dan berjaya membongkar aktiviti pemindahan haram (decanting) gas bersubsidi ke dalam lori tangki industri menggunakan pam pemampat.

“Premis ini dijadikan stor haram untuk memindahkan gas bersubsidi kegunaan isi rumah ke tangki industri – satu bentuk penyelewengan serius terhadap barang kawalan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata sebanyak 976 tong LPG, dua tangki LPG, sebuah lori tangki, dan lori tiga tan bersama pelbagai peralatan pemindahan telah disita, membabitkan jumlah rampasan 17,232kg LPG dianggarkan bernilai RM450,000.

Turut ditahan seorang lelaki warga tempatan berumur 28 tahun dan enam pekerja warga asing berusia sekitar 30-an untuk membantu siasatan.

Menurut Azman, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram [Akta 613].

“Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun, manakala syarikat boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta.

“Bagi kes AMLA pula, pesalah boleh dikenakan penjara sehingga 15 tahun dan denda lima kali ganda hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi, ” katanya.

Beliau memaklumkam KPDN turut mendedahkan statistik rampasan komoditi LPG sejak Januari 2024 hingga April 2025 mencatat 321 kes dengan 194,000kg LPG bernilai RM2.4 juta berjaya dirampas.

“Kita tidak akan berkompromi. Ini sebahagian daripada inisiatif KITA GEMPUR untuk membanteras manipulasi barang kawalan dan ketirisan subsidi,” ujarnya.

Orang ramai digesa menyalurkan maklumat lengkap tentang penyelewengan subsidi melalui WhatsApp KPDN di 019-848 8000, portal e-Aduan (http://eaduan.kpdn.gov.my), talian bebas tol 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas