Berita

Anak muda wajar didedahkan dalam sektor rel

- Diterbit 6 Mei 2025 6:30 PM MYT

PROJEK Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bukan sahaja menawarkan sistem pengangkutan yang moden, canggih dan pantas, malah turut menjadi pemangkin kepada pembangunan kawasan pertumbuhan baharu di sepanjang laluannya, ” tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, projek seperti itu memerlukan komitmen anak muda dan belia serta dalam masa sama mereka wajar diberi pendedahan dalam aspek latihan, teori, amali, serta pengalaman operasi sebenar industri rel.

“Ini bagi memastikan mereka benar-benar bersedia menyertai sektor rel yang semakin berkembang lantas para pelatih akan ditawarkan peluang pekerjaan bersama ECRL selepas tamat latihan sekali gus membuka laluan kerjaya yang lebih luas dan stabil dalam industri ini, ” ujar beliau di Facebook.

Tambahnya, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta pihak-pihak yang dilantik amat penting bagi memastikan kejayaan dan kelangsungan pelaksanaan ECRL.

Ujarnya, beliau turut menekankan kepentingan tersebut dalam Majlis Peluncuran Peluang Pekerjaan dan Penyerahan Surat Tawaran PLKI-ECRL bagi fasa Pengoperasian dan Penyelenggaraan (O&M) ECRL yang berlangsung hari ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas