Berita

Mas Idayu dan Sufian bercerai… “Jodoh sampai di sini saja”

- Diterbit 5 Mei 2025 9:15 PM MYT

PENERBIT Eksekutif TV3, Muhamad Sufian Che Isa, 54, mengesahkan dia dan penyanyi dangdut terkenal, Mas Idayu, 53, telah sah bercerai pada 4 Mac lalu di Mahkamah Syariah Shah Alam.

Ini secara tidak langsung menamatkan spekulasi dalam kalangan warganet mengenai desas-desus itu, sebelum ini.

“Memang betullah gosip itu. Kami dah sah bercerai pada 4 Mac lalu di Mahkamah Syariah Shah Alam. Punca perceraian, saya anggap kami sudah tiada jodoh saja,” katanya, lapor Harian Metro.

 

Pada masa sama, Sufian turut memaklumkan bahawa mereka melalui proses perpisahan secara damai dan tidak menyimpan sebarang perasaan buruk antara satu sama lain.

“Bagaimanapun, hubungan antara kami masih lagi baik sebagai sahabat. Tapi, jodoh kami nampaknya sampai di sini saja dan saya positif menerima takdir yang sudah ditetapkan ini.

“Pada usia saya yang sudah tua ini, nak bermasam muka atau bergaduh pun buat apa? Bagi saya, memang jodoh kami sampai di sini saja,” katanya lagi.

Sebagai hambaNya, dia menerima ketentuan jodoh dengan reda walaupun tiada pasangan yang berkahwin mahu berakhir dengan penceraian.

Dalam pada itu, Sufian turut menyatakan kesediaannya untuk terus bekerjasama secara profesional bersama Mas Idayu, khususnya dalam program-program terbitan TV3 selepas ini.

“Saya pun tetap bersedia untuk terus bekerjasama dengan dia dalam program dijalankan stesen TV. Kami pun berpisah secara baik.

“Setakat ini, hubungan antara kami pun masih tetap baik walaupun sekarang sudah bercerai. Saya akan terus beri sokongan pada kerjaya seninya, termasuk sebagai juri program,” katanya.

Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada September 2022, selepas kembali rapat pada tahun 2021 walaupun telah saling mengenali sejak program Mentor 3 pada tahun 2008.

Mas Idayu pernah bertemu jodoh dengan pelakon Aman Graseka pada tahun 1997 namun bercerai pada 2006 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Dayini Asyiqa, 27.

Sementara itu, Sufian juga pernah mendirikan rumah tangga dengan personaliti TV, Intan Suraya, dan hasil perkahwinan itu mereka mempunyai seorang cahaya mata. – WILAYAHKU

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas