Berita

DPIM perkasa usahawan melalui Biz Meet Up & Connect siri ketiga

- Diterbit 5 Mei 2025 6:50 AM MYT

DEWAN Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Putrajaya terus mengorak langkah memperkasa komuniti usahawan melalui penganjuran Biz Meet Up & Connect (BMC) buat kali ketiga, selepas kejayaan dua siri terdahulu yang mendapat sambutan memberangsangkan.

Program yang mengetengahkan sesi interaktif ini memberi peluang kepada para usahawan dari pelbagai sektor untuk membina jaringan, berkongsi pengalaman sebenar dunia perniagaan, serta menyertai sesi taklimat dan peluang kerjasama dengan agensi dan rakan strategik bertauliah.

DARI kiri: Setiusaha Kehormat DPIM, Hadi Pilus, Timbalan Pengerusi DPIM Putrajaya, Jamal Jermi, bersama Pengerusi DPIM Putrajaya, Datuk Muhamad Khanafi Husin, Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Penguatkuasa PBT Berhad, Khairul Rizam Othman dan Ezanee dari Lokalities Food.

Menurut Pengerusi DPIM Putrajaya, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin, BMC siri ketiga menawarkan dua komponen utama kepada peserta.

Pertamanya adalah latihan Produktiviti Transformasi bernilai RM1,800 yang diberikan secara percuma.

Seterusnya peluang menjana pendapatan melalui kerjasama bersama entiti berdaftar dan berprestasi tinggi.

“Menerusi BMC, dewan membuka ruang kepada usahawan untuk menambah ilmu, mengukuh jaringan dan mengembangkan perniagaan tanpa sebarang bayaran. Mereka hanya perlu hadir, cakna, dan ambil peluang yang disediakan melalui sesi taklimat oleh agensi dan syarikat jemputan,” ujarnya.

PENGERUSI DPIM Putrajaya, Datuk Muhamad Khanafi Husin.

Sebagai contoh, BMC kali ini menampilkan taklimat oleh Koperasi Penguatkuasa PBT Berhad yang memperkenalkan peluang menjana pendapatan melalui platform Lokalities Food , sebuah model perniagaan berasaskan konsep central kitchen on the go yang sedang berkembang pesat.

Tambah beliau lagi, penyertaan ke dalam program BMC terbuka kepada semua usahawan yang memenuhi syarat dan melalui proses saringan yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Pembangunan DPIM.

“Saringan penting untuk menapis individu yang benar-benar berkelayakan dan serius, sekaligus memastikan program dikendalikan oleh penyedia maklumat yang sah dan diiktiraf,” katanya.

Sejak tiga siri dijalankan, BMC telah memberi manfaat kepada lebih 150 usahawan dari pelbagai latar belakang termasuk makanan, teknologi, dan perkhidmatan. DPIM turut menjalinkan kerjasama strategik dengan beberapa syarikat penyediaan makanan yang berpotensi tinggi.

“Industri makanan di negara ini berkembang pesat namun ramai peniaga menghadapi cabaran seperti modal terhad, isu kawalan kualiti, serta kekangan lokasi. Melalui kerjasama BMC, kami bantu mereka untuk bergerak secara sistematik dan mampan,” jelasnya.

DPIM mensasarkan lebih banyak penyertaan aktif daripada syarikat dan entiti perniagaan yang ingin menyumbang atau berkolaborasi. Mereka dialu-alukan untuk mengemukakan kertas cadangan yang akan dinilai oleh Jawatankuasa Pembangunan DPIM yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kehormat DPIM Putrajaya, Hadi Pilus.

Untuk maklumat lanjut mengenai program BMC atau peluang kerjasama strategik, sila hubungi, Hadi Pilus di talian 017-224 8222. – WILAYAHKU

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas