Berita

Transformasi Wajah KL: rakyat diundang tentukan hala tuju bandar raya

HAD Parkir Dua Jam Akan Dikuatkuasakan di Kuala Lumpur.
- Diterbit 2 Mei 2025 11:00 AM MYT

KUALA Lumpur bakal melakar sejarah baharu pembangunan apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengajak seluruh warga kota menyertai sesi Hari Terbuka Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) yang akan berlangsung dari 7 hingga 9 Mei ini di Lobi Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut.

Sesi tiga hari itu akan berlangsung dari jam 9.30 pagi hingga 4.30 petang dan menjadi platform penting bagi orang awam serta pihak berkepentingan meneliti, memahami dan memberi maklum balas terhadap pindaan Draf PTKL2040 sebelum ia diwartakan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata, Hari Terbuka ini menjadi simbol keterbukaan dan ketelusan DBKL dalam merancang masa depan ibu negara secara lebih terancang, mampan dan inklusif.

“Kami mahu suara rakyat didengar. Draf ini bukan hanya dokumen teknikal, tetapi gambaran masa depan Kuala Lumpur yang dirancang bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Maimunah, Draf PTKL2040 dirangka sejak 2019 berlandaskan Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 dan dijangka menggantikan Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020.

“Ia turut menterjemahkan dasar-dasar utama dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) yang telah diwartakan pada 19 Oktober 2023,” jelas beliau.

Datuk Bandar berkata sepanjang tempoh publisiti dari Januari hingga April lalu, DBKL menerima lebih 28,000 maklum balas awam, manakala sebanyak 480 sesi pendengaran telah dilaksanakan menerusi Jawatankuasa Pendengaran Pandangan Awam (JKPPA).

“Penglibatan rakyat dalam pelaksanaan PTKL2040 penting bagi memastikan Kuala Lumpur kekal sebagai bandar raya berdaya saing, lestari dan mesra rakyat.

“Inilah masa untuk rakyat tampil bersuara. Kita tidak mahu membina bandar untuk segelintir, tetapi bandar untuk semua,” katanya lagi.

Orang ramai dialu-alukan hadir ke sesi Hari Terbuka bagi memainkan peranan mereka dalam membentuk wajah baharu Kuala Lumpur.— WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas