Berita

Penyeludupan barangan berbahaya dikesan di KLIA

Foto: BERNAMA
- Diterbit 30 April 2025 6:15 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima satu maklumat berkaitan isu penyeludupan barangan berbahaya menerusi kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dipercayai mempunyai unsur rasuah.

Menurut sumber, kegiatan penyeludupan barangan berkenaan yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) meletakkan kawasan KLIA terdedah kepada isu ancaman keselamatan terutama kejadian dua kebakaran yang berlaku pada tahun 2024.

“Maklumat melibatkan kegiatan penyeludupan barangan berbahaya itu telah diterima pada awal tahun ini dan susulan itu, SPRM telah membuka satu kertas siasatan.

“Berdasarkan siasatan awal, barangan berbahaya termasuk bahan kimia itu diseludup masuk dengan diikrarkan sebagai produk isirumah,” katanya.

Sumber berkata, SPRM kini sedang menyiasat syarikat serta pihak terlibat dan termasuk akan mengenal pasti isu kelemahan tatakelola yang menyebabkan barangan berbahaya berkenaan mudah diseludup masuk.

Katanya, SPRM akan mengadakan kerjasama dengan pengurusan lapangan terbang berkenaan termasuk agensi-agensi penguatkuasaan berkaitan serta tidak menolak kemungkinan akan memanggil pihak-pihak tertentu untuk tujuan siasatan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Idris Zaharudin ketika dihubungi mengesahkan mengenai siasatan kes berkenaan dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas