Berita

NRES giat perangi penyeludupan hidupan liar

- Diterbit 30 April 2025 4:15 PM MYT

KEMENTERIAN Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memandang serius isu penyeludupan hidupan liar yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

NRES dalam kenyataan memaklumkan penyeludupan hidupan liar bukan sahaja
menjejaskan populasi spesies terancam, malah menimbulkan risiko kepada keselamatan negara dan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Dalam hal ini, NRES melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan
Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) komited memperkasa tindakan penguatkuasaan di seluruh negara.

“Bagi tempoh dari tahun 2023 hingga April 2025, sebanyak 10 kertas siasatan
telah dibuka berkaitan penyeludupan hidupan liar di lapangan terbang
KLIA membabitkan spesies eksotik atau tempatan seperti kura-kura,
ular, burung dan primat.

“Bagi memperkukuh usaha ini, NRES menggiatkan kerjasama strategik di
bawah Malaysia Wildlife Enforcement Network (MY-WEN) dan Operasi
Bersepadu Khazanah (OBK) bersama agensi-agensi penguatkuasaan.

“Pendekatan bersepadu ini membolehkan operasi pencegahan, siasatan, dan pendakwaan dijalankan dengan lebih berkesan,” katanya.

Tambahnya, pada 18 April 2024, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik
Nazmi Nik Ahmad telah mempengerusikan mesyuarat penyelarasan bersama agensi penguatkuasaan berkaitan berkenaan
isu penyeludupan hidupan liar.

“Hasil mesyuarat tersebut, jabatan dan agensi yang terlibat akan terus
meningkatkan keberkesanan aktiviti
kawalan dan operasi
penguatkuasaan khususnya di lapangan terbang antarabangsa serta
satu Nota Jemaah Menteri akan disediakan oleh NRES berhubung isu
ini.

“Selain itu, kerjasama di peringkat antarabangsa turut diperkukuhkan
untuk memerangi perdagangan haram hidupan liar rentas sempadan
yang didalangi sindiket jenayah terancang.

“NRES ingin mengingatkan bahawa mana-mana individu atau sindiket
yang didapati terlibat dalam penyeludupan hidupan liar akan berdepan
tindakan tegas di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta
716), termasuk denda sehingga RM1 juta atau hukuman penjara
maksimum 15 tahun, atau kedua-duanya sekali, ” kata kenyataan itu.

Ujarnya, sebagai sebuah negara megabiodiversiti, Malaysia kekal komited untuk melindungi khazanah alam semula jadi demi keseimbangan ekosistem
dan kesejahteraan generasi masa depan.

“NRES menyeru masyarakat
untuk bertindak sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dengan
melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan hidupan liar,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas