Berita

Datuk Seri antara empat direman kemuka tuntutan palsu RM360 juta

- Diterbit 30 April 2025 3:15 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman empat individu termasuk seorang bergelar Datuk Seri disyaki mengemukakan tuntutan yang mengandungi butir matan palsu kira-kira RM360 juta.

Perintah reman selama empat hari sehingga 3 Mei terhadap keempat-empat suspek dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Burhanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Menurut sumber, kesemua suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 50 dan 70-an itu telah ditahan antara pukul 4 hingga 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar 2016 hingga 2017.

“Keempat-empat suspek disyaki mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM360 juta yang menggunakan dana sukuk dalam sebuah projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang yang bernilai kira-kira RM1.30 bilion,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas