PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempelawa orang ramai untuk menghadiri hari terbuka Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) yang akan diadakan pada minggu hadapan.
Beliau turut memaklumkan bahawa PTKL2040 akan memberi tumpuan kepada pembangunan yang dipacu teknologi serta usaha memelihara alam sekitar.
Anwar berkata, pelan tersebut turut menekankan penyelarasan penggunaan tanah antara kerajaan persekutuan dan orang awam, selain melindungi warisan bandar.
“Draf PTKL2040 memperkenalkan pendekatan baharu seperti insentif pembangunan semula, kawalan nisbah plot yang lebih fleksibel, dan pelaksanaan zon penggunaan tanah baharu bagi memastikan kesejahteraan komuniti bandar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.
Beliau menambah, “Orang ramai dijemput untuk menghadiri hari terbuka yang akan berlangsung dari 7 hingga 9 Mei, sebelum pelan ini diwartakan secara rasmi pada akhir Mei.”
Dalam hantaran tersebut, Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa beliau telah menghadiri taklimat mengenai pewartaan PTKL2040, yang menggariskan inisiatif untuk membangunkan ibu negara secara lebih mampan dan inklusif.-WILAYAHKU