DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah melaksanakan Ops Korekan Jalan terhadap kontraktor yang menjalankan kerja-kerja korekan jalan tanpa mematuhi prosedur kerja yang betul di sekitar Parlimen Segambut, Bukit Bintang dan Kepong.
Menerusi hantaran di Facebook, DBKL berkata sebanyak lima syarikat kontraktor yang sedang menjalankan kerja-kerja penambahbaikan di lima lokasi berbeza telah disemak kelulusan permit, prosedur kerja dan lain-lain bagi memastikan keselamatan pekerja dan orang awam terjaga.
“Hasil semakan, DBKL mengeluarkan lima notis tawaran kompaun di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta Undang-Undang Kecil (UUK) Pengangkutan Bahan 1997 atas pelbagai kesalahan.
” Selain itu, CIDB turut mengeluarkan satu notis tawaran kompaun atas kesalahan kegagalan pihak kontraktor mendapatkan kelulusan CIDB untuk menjalankan kerja-kerja penambahbaikan,” katanya.
DBKL menjelaskan pihaknya akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari masa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenalpasti. Orang awam boleh menyalurkan aduan atau maklumat melalui pautan berikut, https://adukl.dbkl.gov.my.-WILAYAHKU