Berita

Muadzam Lebarun 2025 pupuk gaya hidup sihat, semangat kekeluargaan

- Diterbit 30 April 2025 1:11 PM MYT

MESKIPUN ramai sedar peranan kesihatan dan perpaduan dalam masyarakat, namun masih terdapat sesetengah golongan yang memandang remeh akan kepentingannya.

Menyedari hal itu, Politeknik Muadzam Shah bersama Majlis Daerah Rompin dan Pejabat Belia dan Sukan Rompin, telah menganjurkan program Muadzam Lebarun 2025 pada 19 April lalu di Dataran Muadzam Shah, Pahang.

Acara yang bertemakan Langkah Ceria Kilometer Raya ini bertujuan untuk mempromosikan gaya hidup aktif, semangat sukan dan kekeluargaan dalam kalangan masyarakat.

Apa yang menarik dan harus di puji, acara ini telah dianjurkan oleh para pelajar semester 4, Diploma Pelancongan Rekreasi, Jabatan Pelancongan, Politeknik Muadzam Shah. Program ini adalah sebahagian daripada projek kursus Recreational Planning & Programming. 

Dalam masa yang sama, program ini menunjukkan dedikasi dan komitmen tinggi pelajar dalam merancang dan melaksanakan acara yang tidak hanya menggalakkan kesihatan, tetapi juga memupuk semangat kekeluargaan dalam kalangan masyarakat.

Program ini berjaya menghimpunkan lebih 400 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pelajar, pensyarah, dan komuniti setempat dari sekitar Rompin.

Pengisian pelbagai aktiviti sukan dan riadah yang diadakan membuktikan acara ini tidak hanya mempromosikan gaya hidup sihat tetapi juga merayakan semangat bulan Syawal dalam suasana yang penuh kegembiraan dan warna-warni.

PESERTA berlari dengan berbaju melayu dan kurung raya lengkap, menambah suasana ceria dan meriah. 

Program Muadzam Lebarun 2025 bukan sekadar acara larian santai, tetapi juga bertujuan untuk merayakan semangat Syawal dan mengeratkan hubungan antara komuniti. Dengan pelbagai aktiviti sihat dan interaktif, program ini memberi peluang kepada warga Muadzam Shah untuk berkumpul dan meraikan kegembiraan hari raya bersama.

Peserta berlari dengan berbaju melayu dan kurung raya lengkap, menambah suasana ceria dan meriah pada acara tersebut. Di setiap check point, peserta dijamukan dengan makanan raya seperti ketupat palas, nasi impit, dan pelbagai kuih raya, menjadikan pengalaman larian ini lebih istimewa dan menyeronokkan.

Antara acara sampingan yang paling menyeronokkan untuk mempromosikan kebudayaan pertandingan permainan tradisional bagi semua peserta seperti ceper, congkak, baling tin, capteh, tengteng, batu seremban, dam haji dan banyak lagi.

Dam Aji antara pertandingan permainan tradisional yang sangat menggamit memori

Melalui pertandingan ini, para peserta dapat menghargai dan memahami warisan budaya yang telah diwarisi dari generasi ke generasi.

Selain itu, aktiviti ini juga berfungsi sebagai platform untuk memperkenalkan permainan tradisional kepada generasi muda, memastikan bahawa nilai-nilai dan tradisi budaya kita terus hidup dan relevan dalam masyarakat moden.

Bukan itu sahaja, Politeknik Muadzam Shah juga terlibat dalam pameran pendidikan interaktif, pemeriksaan kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Rompin, pameran Angkatan Pertahanan Awam Rompin dan juga gerai jualan.

Ini sekaligus memberi peluang kepada peserta untuk mendapatkan info terkini dan menyokong usahawan tempatan.

Majlis ini dirasmikan oleh Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Negeri Muadzam Shah, Datuk IR Razali Kassim (DIMP).

Razali yang turut  menyampaikan ucapan penghargaan mengakui amat mengagumi semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh para peserta yang mencerminkan nilai-nilai murni masyarakat kita.

Beliau berharap acara ini akan terus menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara penduduk dan mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Acara ini juga berjaya dilaksanakan dengan tunjuk ajar daripada barisan penasihat program iaitu Nur Shafinda Wani Shaikh Azmee, Suriyati Tajrud-din dan Nabila Farhana Mohamad Isa.

Mereka merupakan pensyarah dari Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti yang telah memberikan bimbingan dan sokongan yang berharga sepanjang proses perancangan dan pelaksanaan program tersebut.

Berbekalkan semangat kerjasama yang tinggi dan sambutan positif daripada komuniti, program Muadzam Lebarun 2025 telah membuktikan bahawa acara yang berfokuskan kesihatan dan kekeluargaan mampu menyatukan masyarakat serta mencipta kenangan indah yang akan dikenang oleh semua.

MUADZAM Lebarun 2025 telah dianjurkan oleh para pelajar semester 4, Diploma Pelancongan Rekreasi, Jabatan Pelancongan, Politeknik Muadzam Shah.

Program yang berlangsung dengan Jayanya ini tidak lengkap tanpa sokongan rakan strategik antaranya Ibu Pejabat Polis Rompin, Jabatan Pengangkutan Jalan cawangan Muadzam Shah, Jabatan Kerja Raya Rompin dan SW Corp cawangan Muadzam Shah dalam memastikan keselamatan dan perjalanan program lancar.

Para penaja yang turut memberikan sokongan adalah Maxis Communication Bhd, Kerajaan Negeri Pahang, Elgini Sdn Bhd, RENTAS ADVENTURES ADREN X, dan FML ZI Valuers & Property Consultants. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas