KERAJAAN bersetuju kadar subsidi telur ayam dikurangkan dari RM0.10 kepada RM0.05 sebiji berkuat kuasa 1 Mei 2025 dan subsidi ditamatkan sepenuhnya pada 1 Ogos 2025.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberitahu keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira komitmen pihak industri untuk
memastikan pengeluaran telur ayam yang cukup dan terjamin berikutan kos
pengeluaran yang telah stabil.
“Ini terbukti sepanjang musim perayaan Aidilfitri yang
lalu di mana ketersediaan bekalan adalah mencukupi dengan harga yang kompetitif.
“Kerajaan juga telah mengambil kira tempoh kawalan harga dan pemberian
subsidi yang terlalu lama ialah sesuatu yang tidak mampan kepada kelangsungan
industri pengeluar telur tempatan serta kewangan negara.
“Langkah penyasaran semula subsidi adalah lebih adil memandangkan
ketika ini, subsidi turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi,” katanya dalam kenyataan media.
Tambah kenyataan itu, hasil penjimatan daripada peruntukan tersebut kelak boleh digunakan untuk pembiayaan projek-projek tertentu untuk kesejahteraan rakyat selaras dengan nilai-nilai MADANI.
Ujarnya, bagi meminimumkan impak ke atas kos sara hidup, KPKM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan langkah-langkah intervensi.
“Pihak industri telah bersetuju untuk memperkenalkan telur gred khas pada
harga yang munasabah selain rakyat boleh mendapatkan bekalan telur pada harga yang lebih kompetitif melalui inisiatif Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah di seluruh negara termasuk di semua outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan
(FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
“KPDN akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan melalui pemantauan
berterusan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011
(AKHAP 2011) bagi membanteras sebarang aktiviti pencatutan atau
manipulasi harga oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Terdahulu, sejak Februari 2022 hingga Disember 2024, kerajaan telah membelanjakan hampir RM2.5 bilion untuk pembayaran subsidi telur ayam kepada pihak industri bagi menampung peningkatan kos pengeluaran berikutan pandemik COVID-19 serta kesan peperangan antara Ukraine dan Russia ke atas harga import soya dan jagung bijian. – WILAYAHKU