Berita

Armizan hargai pengiktirafan Siti kepada penjawat awam, puji usaha bantu rakyat susah menerusi foodbank

- Diterbit 25 April 2025 12:15 PM MYT

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Armizan Mohd Ali menzahirkan rasa penghargaan buat Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Menurut Armizan, Siti yang juga penyanyi nombor satu negara itu bukan sahaja tidak mengenakan sebarang bayaran untuk persembahan pada majlis hari raya anjuran KPDN, malah banyak menyokong program bawah kementerian itu.

“Dia hadir atas kebersamaan dan kita amat menghargainya. Walaupun saya sendiri tak sempat tengok sebab bergegas (ke acara lain).

“Saya amat menghargai Datuk Siti memberi pengiktirafan kepada penjawat awam yang bekerja keras termasuk di KPDN untuk menggalas amanah dalam membantu kos sara hidup rakyat,” katanya.

Ahli Parlimen Papar itu berkata, Siti banyak membantu rakyat yang dalam kesusahan.

“Jadi saya ingin jelaskan kalau terkait dengan KPDN, dia merupakan penggerak kepada Yayasan Nurjiwa, merupakan rakan strategik KPDN dalam kita menggerakkan program kebajikan membantu kos sara hidup rakyat.

“Yayasan Nurjiwa melaksanakan inisiatif foodbank untuk dihantar (agih) kepada golongan yang susah.

“Dia hadir sebagai rakan strategik, dia menyanyi secara tiba-tiba atas permintaan daripada bawah dan dia menyumbangkan lagu,” katanya selepas merasmikan Hari Intelek dan Muzik 2025 anjuran Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di Petaling Jaya, pada Khamis.

Armizan berkata demikian ketika diminta mengulas kecaman orang ramai terhadap persembahan beberapa artis popular pada majlis sambutan Aidilfitri anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ini berikutan selepas ruangan komen Facebook Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad menjadi sasaran netizen yang mempersoalkan perbelanjaan bagi membayar artis terbabit.

Sebelum ini, Siti berkata dia tidak menerima sebarang bayaran untuk menyanyi pada majlis tersebut dan berbuat demikian dengan rela hati bagi menyatakan penghargaan terhadap petugas kesihatan. – WILAYAHKU

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas