Berita

WAIPA 2025: Seimbang gender demi masa depan ASEAN

- Diterbit 21 April 2025 11:15 AM MYT

PARLIMEN Malaysia bakal menganjurkan Mesyuarat Women Parliamentarians of AIPA (WAIPA) melibatkan penyertaan daripada delegasi-delegasi parlimen dari seluruh negara ASEAN.

Parlimen Malaysia dalam kenyataan memberitahu pelaksanaan mesyuarat selaras dengan kepengerusian ASEAN oleh Malaysia dan penggiliran Parlimen Malaysia sebagai Presiden ASEAN Inter-Parliamentarian Assembly (AIPA) pada tahun ini.

“Objektif utama mesyuarat adalah untuk memacu
usaha Parlimen yang seimbang dari segi gender di ASEAN, dengan penekanan kepada penggubalan dasar yang inovatif dan lebih peka dalam menangani keperluan masyarakat yang mendesak.

“Mesyuarat ini juga bertujuan untuk meneroka penyelesaian bagi isu-isu berkenaan penyertaan wanita dalam politik serta memupuk persekitaran yang mengiktiraf
kesaksamaan gender dalam tadbir urus bagi membangunkan ASEAN yang mampan dan berdaya tahan,” ujar kenyataan itu.

Bertemakan Steering Innovation, Inclusivity and Diversity
Through Gender-Balance Parliaments for a Future-Ready ASEAN, penganjuran mesyuarat dengan kerjasama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak itu bakal berlangsung di Damai Lagoon Resort, Kuching Sarawak bermula 21 hingga 24 April 2025. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas