Berita

Tiada perubahan dasar visa Amerika Syarikat bagi rakyat Malaysia

- Diterbit 21 April 2025 9:00 AM MYT

KEPERLUAN visa atau dasar imigresen rakyat Malaysia yang ingin melancong atau menetap di Amerika Syarikat setakat ini tidak terjejas.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan media berkata ia susulan laporan terkini yang mengetengahkan perkembangan berkaitan dasar imigresen di Amerika Syarikat.

“Tindakan tersebut tidak menyasarkan rakyat Malaysia secara khusus.

“Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia yang sedang berada di Amerika Syarikat atau yang merancang untuk ke sana dinasihatkan agar sentiasa mengikuti perkembangan terkini berkenaan keperluan masuk, visa, dan dasar imigresen yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat,” ujar Wisma Putra dalam kenyataanya.

Bagaimanapun, rakyat Malaysia di Amerika Syarikat turut digesa untuk sentiasa mematuhi undang-undang tempatan dan peraturan imigresen serta syarat visa masing-masing, yang dikuatkuasakan dengan ketat.

“Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan atau keperluan untuk mendapatkan bantuan konsular, mereka digalakkan untuk menghubungi Perwakilan Diplomatik Malaysia yang terdekat iaitu Kedutaan Besar Malaysia di Washington, Konsult Jeneral Malaysia di Los Angeles dan New York.

“Wisma Putra akan terus memantau perkembangan mengenai perkara ini dan akan menyalurkan maklumat terkini sekiranya terdapat sebarang perubahan yang melibatkan rakyat Malaysia.

“Semua penggembara digalakkan untuk merujuk kepada sumber rasmi bagi mendapatkan maklumat yang sahih apabila merancang perjalanan atau keberadaan mereka di luar negara,” memetik kenyataan Wisma Putra.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas