Berita

Op Birth: Tawar rasuah RM50,000 proses beli, sedia sijil kelahiran bayi

- Diterbit 18 April 2025 7:30 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan sejumlah RM5,000 hingga RM50,000 ditawarkan oleh pihak sindiket kepada individu terlibat bagi menguruskan proses pembelian dan penyediaan sijil kelahiran bayi.

Menurut sumber, siasatan awal SPRM dipercayai sejumlah kira-kira RM400,000 transaksi berlaku membabitkan sindiket tersebut yang dikesan beroperasi sejak tahun 2021.

“SPRM masih lagi dalam siasatan untuk mengenal pasti dalang-dalang sindiket yang terlibat dalam isu ini.

“Siasatan awal turut mendapati modus operandi yang digunakan oleh ejen adalah melalui iklan-iklan di media sosial dan juga melalui kenalan atas kenalan,” katanya.

Rabu lalu, SPRM menahan reman 14 individu kerana disyaki terlibat mengemukakan borang daftar kelahiran yang mengandungi butiran matan palsu berkenaan pengesahan kelahiran bayi-bayi sedangkan tiada rekod kelahiran tersebut di hospital-hospital terlibat.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi berkata, SPRM kini dalam proses mengesan lebih ramai individu atau ejen yang terlibat dalam membekalkan bayi-bayi serta yang terlibat dalam penyediaan dokumen palsu.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa siri tangkapan susulan akan dibuat untuk tujuan tersebut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas