Berita

Seiring visi bandar pintar

MOHD SUKURAN (lima dari kiri) bersama peserta selepas pelancaran Microsoft AI TEACH di UMSKAL.
- Diterbit 20 April 2025 11:00 AM MYT
PELANCARAN Program Microsoft AI TEACH oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mampu memperkasa komuniti dengan perkembangan ilmu dan kemahiran kecerdasan buatan (AI) serta kecekapan pentadbiran dan operasi pengurusan bandar selari visi Pelan Tindakan Bandar Pintar Labuan 2030.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Mohd Sukuran Taib, ia merupakan inisiatif penting dalam agenda digital negara.

Katanya program itu bukan sahaja melengkapkan komuniti dengan kemahiran AI tetapi selari dengan visi Wilayah Persekutuan Labuan dalam transformasi teknologi.

“Pelan Tindakan Bandar Pintar Labuan 2030 dirangka untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran dan operasi pengurusan bandar menerusi integrasi teknologi digital seperti industri 4.0, Internet of Things (loT) dan sebagainya.

“Dalam konteks ini, Program MCMC Microsoft AI TEACH secara tidak langsung memberikan akses kepada teknologi dan kemahiran digital yang relevan untuk ekonomi masa depan sekali gus meningkatkan kemahiran dan keupayaan tenaga kerja tempatan,” katanya pada Program Microsoft AI TEACH di Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Turut hadir Pengarah MCMC Wilayah Persekutuan, Faisal Hamdi Mohammed Ghouth dan Pengarah UMSKAL, Profesor Madya Dr Mohamad Rizal Abdul Hamid.

Sukuran menjelaskan bahawa dengan adanya inisiatif itu ia mampu membantu pihaknya mencapai matlamat menjadikan Labuan sebagai pusat serantau yang kompetitif dengan ekonomi yang pelbagai dan mampan.

Katanya ia termasuk dari sudut komponen pengurusan bandar pintar, pusat inovasi dan teknologi serta program latihan dan pendidikan.

“Dengan pelaksanaan ini, Pelan Tindakan Bandar Pintar Labuan 2030 akan membantu mempercepatkan peralihan ekonomi tempatan ke arah masa depan digital yang lebih kukuh dan kompetitif,” katanya. – WILAYAHKU
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas