PENYALURAN sumbangan wang ihsan sebanyak RM30 juta kepada para pesawah yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Februari lalu merupakan inisiatif daripada syarikat swasta iaitu Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, dana berjumlah
RM30 juta itu bukanlah dana awam, sebaliknya adalah peruntukan
dalaman syarikat yang tertakluk kepada tadbir urus kewangan korporat BERNAS sendiri.
“Setiap proses pengeluaran dana memerlukan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP), piawaian pengurusan kewangan dalaman, serta kelulusan pihak pengurusan tertinggi syarikat.
“Maka itu, penyaluran sumbangan hanya boleh dilaksanakan setelah semua keperluan pematuhan ini diselesaikan sepenuhnya — seiring dengan prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan yang diamalkan oleh pihak syarikat, terutama melibatkan dana berskala besar,” ujar beliau dalam kenyataan.
Beliau menjelaskan proses tersebut mengambil sedikit masa kerana perlu mematuhi peraturan
kewangan serta tatacara dalaman syarikat.
“Namun begitu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) ingin memaklumkan bahawa dana RM30 juta telah diterima sepenuhnya daripada BERNAS pada Jumaat, 28 Mac 2025.
“Sehubungan itu, KPKM telah memulakan proses pengagihan kepada lebih 200,000 pesawah yang layak di seluruh negara. Agihan sumbangan ini dijangka selesai sepenuhnya menjelang pertengahan April 2025,” katanya.
Ujarnya, sebagai sebuah Kerajaan MADANI yang berpegang kepada prinsip keutamaan rakyat, pendekatan yang diambil adalah meminta syarikat swasta membantu golongan yang memerlukan seperti pesawah, dan bukan menyumbang kepada parti politik seperti yang menjadi amalan kerajaan terdahulu.
“Kita percaya, sokongan korporat sewajarnya disalurkan untuk manfaat rakyat, bukan kepentingan politik. KPKM amat memahami kegusaran serta harapan tinggi daripada para pesawah.
“Kami ingin menegaskan bahawa kementerian komited
sepenuhnya dalam memastikan bantuan ini sampai kepada semua yang berhak. Kementerian juga amat menghargai kesabaran dan kerjasama yang ditunjukkan oleh para pesawah sepanjang proses ini berlangsung,” ujarnya. – WILAYAHKU