Berita

Polis kesan individu guna darjah kebesaran Sultan Selangor tidak sah

KETUA Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan
- Diterbit 4 April 2025 9:30 AM MYT

JABATAN Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor menerima satu laporan polis di Shah Alam berkaitan penipuan dalam penggunaan darjah kebesaran Sultan Selangor bagi gelaran Datuk Seri yang tidak sah.

Ia melibatkan pemilik akaun Facebook yang mendakwa telah dikurnia gelaran tersebut oleh Sultan Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan/Seksyen 3(1) Akta Kesalahan Yang Berhubung Dengan Anugerah 2017.

“Pengesahan telah dibuat dan mendapati pemilik akaun Facebook tersebut tidak pernah menerima darjah kebesaran daripada Sultan Selangor dan telah menggunakan gelaran Datuk Seri secara tidak sah,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya meminta pemilik akaun Facebook yang disyaki menggunakan gelaran palsu itu segera memberi kerjasama untuk membantu siasatan.

KETUA Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan

Katanya, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkenaan juga diminta menghubungi polis.

“Kita akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana individu yang menyalahgunakan mana-mana darjah kebesaran atau gelaran yang tidak sah.

“Kesalahan menggunakan darjah kebesaran yang disyaki palsu boleh dihukum di bawah Sekayen 3(3) Akta Kesalahan Yang Berhubung Dengan Anugerah 2017,” jelasnya.

Katanya, pemberian darjah kebesaran Sultan Selangor merupakan satu simbol penghormatan dan martabat yang perlu dihormati dan dilindungi daripada sebarang penyalahgunaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas