Berita

85 Keluarga di Taman Harmoni dibenar kembali ke rumah selepas pemeriksaan keselamatan selesai

- Diterbit 3 April 2025 6:30 PM MYT

85 keluarga yang terjejas akibat kebakaran paip gas di Taman Harmoni dibenarkan pulang ke rumah mereka mulai malam ini, menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Amirudin berkata, kebenaran itu diberikan selepas pihak berkuasa selesai menjalankan pemeriksaan keselamatan, termasuk menyambungkan semula saluran utiliti seperti air dan elektrik di kawasan terbabit.

“Sebanyak 85 rumah yang disahkan selamat dibenarkan untuk dihuni semula, namun Kampung Kuala Sungai Baru yang terletak berhampiran masih belum dapat diduduki akibat kerosakan teruk yang memerlukan proses pembaikan,” katanya.

Amirudin turut memaklumkan bahawa kerja-kerja penyambungan utiliti dijalankan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memastikan keselamatan sebelum rumah-rumah tersebut diduduki semula.

Dalam sidang media yang diadakan di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor, Amirudin turut memaklumkan bahawa setakat ini seramai 308 keluarga melibatkan 1,254 mangsa telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, dua mangsa yang terjejas akibat kebakaran paip gas kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Ampang dan Hospital Kuala Lumpur (HKL), masing-masing akibat terdedah kepada asap yang memberi kesan kepada paru-paru.

Sementara itu, 630 mangsa daripada 157 keluarga ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia Putra Heights.

“Baki 624 mangsa daripada 151 keluarga memilih untuk tinggal dengan saudara mara atau rakan atas usaha sendiri, sementara menunggu keadaan pulih,” katanya.

Amirudin turut menegaskan bahawa keselamatan penduduk menjadi keutamaan, dan kerajaan negeri serta pihak berkuasa akan terus memantau keadaan dengan lebih teliti bagi memastikan tiada kejadian serupa berlaku pada masa hadapan.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas