Berita

Filem Gayong bakal menemui penonton di pawagam 8 Mei depan

- Diterbit 28 Mac 2025 10:40 AM MYT

FILEM Gayong yang diinspirasikan daripada kisah Pengasas Silat Gayong, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (Admar) bakal menemui penonton di pawagam pada 8 Mei depan.

Filem yang selesai menjalani penggambaran di Kuala Lumpur, Sepang dan Tanjung Sedeli, Johor itu menampilkan Pelakon Lelaki Terbaik, Beto Kusyairy selaku teraju utama.

Turut membantu memantapkan lagi filem itu adalah Syafie Naswip, Nabila Huda, Yayan Ruhian dan ramai lagi.

Pengarahnya, Faisal Ishak berkata, dia yakin Gayong adalah antara naskhah aksi yang ditunggu-tunggu ramai.

“Gayong bukanlah sekadar filem aksi semata-mata, tetapi juga platform untuk mengangkat warisan Melayu ke layar perak.

“Apabila menghasilkan filem ini, saya ingin penonton bukan sahaja menikmati aksi yang mendebarkan, tetapi turut merasai jiwa di sebalik setiap gerak dan langkah serta pengorbanan dalam dunia persilatan,” ujarnya.

Faisal menambah menghasilkan cerita yang diinspirasikan daripada kisah tokoh persilatan terkemuka bukanlah sesuatu yang mudah.

Jelasnya, cabaran yang dihadapi bukan saja dari aspek teknikal dan produksi, tetapi lebih kepada memastikan ketulenan dan penghormatan terhadap warisan tokoh berkenaan.

“Sebagai pengasas seni silat Gayong, arwah bukan saja seorang pendekar, tetapi guru yang membawa falsafah mendalam tentang ilmu persilatan dan kehidupan.

“Jadi, saya perlu memastikan jalan ceritanya menangkap semangat perjuangan dan pengorbanan beliau dalam memperjuangkan seni silat Gayong,” ujarnya.

Bagi memastikan filem Gayong dihasilkan dengan lebih mantap, Faisal berkata setiap pelakon perlu menjalani latihan intensif di bawah bimbingan Pengarah Aksi iaitu Yayan serta jurulatih Silat Gayong yang berpengalaman.

“Latihan yang dibuat bukan sekadar mengajar mereka pergerakan asas, tetapi juga membantu pelakon memahami disiplin, struktur gerakan, serta semangat yang terkandung dalam setiap jurus dan langkah Gayong,” ujarnya.

Selaku pengarah, Faisal mahu filem arahannya itu menjadi satu penghormatan buat seorang legenda yang telah mewariskan ilmu yang begitu berharga.

“Secara jujurnya, saya berbesar hati dapat menerajui sebuah filem yang diinspirasikan dari
kehidupan satu legasi danperjalanan yang menghubungkan sejarah dan semangat juang,”
ujarnya.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Gayong, Khairul Anuar Latip berkata, untuk menerbitkan filem berkenaan, pihaknya sudah mendapat persetujuan daripada ahli keluarga Admar sendiri terutama anak perempuan dan cucu arwah.

Mereka memulakan kerja penyelidikan sejak bulan Disember 2023 dan berhubung dengan beberapa pihak untuk mendapatkan nasihat sehingga dipertemukan dengan waris keluarga Admar.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas