Berita

Saranan PM: Felda gerak strategi, rangka hala tuju baharu

- Diterbit 27 Mac 2025 4:35 PM MYT

LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) sedang merangka hala tuju baharu yang bakal memberi impak bukan sahaja kepada warga peneroka tetapi juga kepada negara.

Jaminan itu disuarakan agensi berkenaan susulan penegasan serta saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan FELDA terus maju dengan hala tuju yang kukuh dan berdaya saing.

Jelas FELDA, sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam memperkasa peneroka dan komuniti, hala tuju itu akan dikemukakan dalam tempoh sebulan seperti yang diminta oleh Perdana Menteri.

“Ini dengan matlamat untuk memastikan kebolehupayaan FELDA dalam menghadapi cabaran masa depan serta memperkukuhkan kedudukannya sebagai peneraju sektor
agribisnes negara.

“FELDA akan segera selepas Aidifitri ini memberi tumpuan kepada proses memperincikan pelan tindakan berdasarkan data dan kajian sedia ada serta mengambil input daripada kepimpinan dalaman FELDA, kepimpinan negara, pakar sektor perladangan, pakar ekonomi dan pihak yang berkepentingan.

“Tindakan ini bagi memperhalusi semua inisiatif yang mampu membawa lonjakan besar sebagai pemangkin pembangunan ekonomi luar bandar khususnya dalam sektor perladangan dan pembangunan komuniti,” katanya.

FELDA berkata, pendekatan inklusif ini akan memastikan setiap dasar yang dirangka bakal memberi ledakan kebaikan yang memberikan perubahan signifikan.

“FELDA yakin dengan sokongan padu daripada Kerajaan MADANI serta kolaborasi erat antara pihak berkepentingan, kita mampu merealisasikan visi untuk memperkasakan peneroka dan terus memainkan peranan utama dalam menyumbang kepada kestabilan ekonomi dan sosial negara,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri memberi tempoh selama sebulan kepada pengurusan FELDA untuk mengemukakan pelan hala tuju dan pendekatan baharu bagi agensi berkenaan.

Beliau menegaskan, pelan itu bertujuan mengangkat martabat Felda serta semua agensi dan anak syarikatnya yang memerlukan lonjakan untuk berada di landasan ampuh.

Katanya, pelan terbabit juga akan menjadi persediaan berdepan kemungkinan keadaan lebih mencabar susulan perkembangan geopolitik semasa, walaupun unjuran permintaan sawit ketika ini berada pada tahap lebih baik. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas