Berita

LTAT umum agihan dividen tertinggi dalam tujuh tahun

- Diterbit 27 Mac 2025 3:15 PM MYT

LEMBAGA Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hari ini mengumumkan pengagihan dividen sebanyak 5% serta bonus dividen 0.25% bagi tahun kewangan 2024 (TK2024).

Menurut LTAT, jumlah agihan bernilai RM514.20 juta itu meningkat berbanding RM485.08 juta yang dibayar pada 2023, menjadikannya jumlah agihan dividen tertinggi LTAT dalam tempoh tujuh tahun kebelakangan.

Katanya, agihan tersebut memberi manfaat kepada 125,014 pencarum yang terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Selain itu, ia juga menggambarkan tahun ketiga berturut-turut LTAT mengekalkan dividen pada kadar 5%, mencerminkan pemulihan kukuh, prestasi mampan serta kestabilan dana.

“LTAT terus memperkukuh kedudukan kewangannya dengan peningkatan tahun ke tahun secara konsisten dalam semua petunjuk prestasi utama,” jelas LTAT sempena pengumuman agihan dividen di ibu negara hari ini.

LTAT menambah, bagi tempoh yang ditinjau, LTAT telah mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak RM753 juta, meningkat 2.5% berbanding tahun sebelumnya.

Pertumbuhan ini katanya, didorong oleh usaha kepelbagaian aset serta pulangan lebih tinggi daripada aset strategik, mencerminkan pengurusan portfolio yang disiplin dan komitmen terhadap pertumbuhan yang mampan.

Katanhya, keuntungan bersih juga terus meningkat positif, dengan lonjakan sebanyak 23.7% kepada RM588 juta bagi TK2024 berbanding tahun sebelumnya, disokong oleh pertumbuhan pendapatan yang kukuh serta pengurusan kos yang berhemat.

“Sejak 2022, keuntungan bersih LTAT berkembang secara konsisten melebihi RM400 juta setiap tahun, sekali gus mengukuhkan lagi pendapatan yang terkumpul.

“Dalam pada itu, rizab terkumpul LTAT mencatatkan peningkatan sebanyak 160.6% tahun ke tahun, mencapai RM1,011 juta bagi tempoh yang dilapor. Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut di mana jumlah rizab meningkat melebihi 100% setiap tahun sejak 2021, mencerminkan keberkesanan strategi pelaburan yang berdisiplin dan pengurusan proaktif terhadap aset-aset legasi,” jelasnya.

Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md. Radzi berkata, prestasi kewangan tahun ini adalah bukti kekuatan ekonomi domestik Malaysia, di mana pelaburan LTAT adalah 100% berasaskan pasaran tempatan.

Ia juga katanya, mencerminkan keberkesanan dasar kerajaan yang kukuh – baik dari segi kawal selia mahupun pembangunan – yang telah mewujudkan persekitaran pelaburan dan perniagaan yang stabil.

Selain daripada pengumuman dividen, LTAT turut mengumumkan pemilihan lima kem tentera di bawah inisiatif ‘Kem Santuni MADANI’ dengan kerjasama Syarikat Kumpulan LTAT.

Menerusi inisiatif ini, LTAT dan syarikat berkaitan akan menangani cabaran yang dihadapi oleh kem-kem ini, termasuk penambahbaikan infrastruktur, inisiatif pemerkasaan kewangan serta program sokongan komuniti yang lain.

Inisiatif ini sebahagian daripada komitmen LTAT yang berterusan untuk memperkukuh hubungan dengan pencarum

Terdahulu majlis pengumuman pengagihan dividen itu dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar serta Pengerusi LTAT, Tan Sri Azizan Ariffin.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas