Berita

‘Alamak’, ‘terror’ dimasukkan dalam kemas kini kata baharu Oxford English Dictionary

- Diterbit 27 Mac 2025 2:45 PM MYT

PENGARUH bahasa pasar yang sering disebut di negara ini termasuk Singapura seperti ‘alamak’ dan ‘terror’ kini diiktiraf menerusi kemas kini kata baharu oleh Oxford English Dictionary (OED).

Menerusi laporan kata baharu dari seluruh dunia dalam kemas kini OED Mac 2025, terdapat perkataan dan frasa dalam sesuatu bahasa tidak dapat diterjemahkan ke dalam bahasa lain.

Menurut OED, satu kategori kata yang sukar diterjemahkan secara langsung adalah seruan yang menyatakan pelbagai emosi.

“Contohnya perkataan ‘alamak’, salah satu kata baru dari Malaysia dan Singapura yang dimasukkan dalam kemas kini ini. Dipinjam dari Bahasa Melayu, ‘alamak’ digunakan untuk menyatakan kejutan, kekesalan, kebingungan atau kemarahan.

“Asal usul kata ini masih tidak pasti, ia mungkin berasal dari perkataan atau istilah Arab serta mungkin dipengaruhi oleh ungkapan Portugis,” jelas OED dalam kenyataan.

OED menambah, nama-nama juadah tempatan juga dimasukkan ke dalam kemas kini tersebut termasuk ‘ketupat’, ‘otak-otak’, ‘nasi lemak’ dan ‘steamboat’.

Jelasnya, perkataan ‘tapau’ yang membawa maksud membungkus makanan juga diiktiraf dalam kemas kini berkenaan.

Selain itu katanya, perkataan ‘mat rempit’ turut mewakili budaya Malaysia merujuk kepada sekumpulan anak muda yang terlibat dalam perlumbaan motosikal haram.

“Mereka boleh digambarkan sebagai ‘terror’. Di Malaysia dan Singapura, perkataan ‘terror’ boleh bermaksud ‘hebat’. ‘Terror’ sehingga didahului oleh perkataan ‘wah’ dan diikuti ‘lah’,” katanya.

Tambah OED, gabungan perkataan itu seperti catatan media sosial 2020 yang disertakan dalam entri OED iaitu ‘Wah! So terror lah’. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas