LEMBAGA Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan peningkatan jumlah trafik kepada 2.77 juta kenderaan sehari yang akan menggunakan lebuh raya utama sempena cuti perayaan Aidilfitri ini.
Menurut LLM, daripada jangkaan itu, sebanyak 2.158 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya di bawah Kumpulan PLUS diikuti Lebuhraya KL-Karak (216,000); Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 1 (156,000); LPT Fasa 2 (70,000); dan 174,000 kenderaan di Lebuhraya Persisiran Pantai Barat pada hari puncak sepanjang tempoh perayaan ini.
“Pergerakan kenderaan keluar dari ibu kota menuju ke arah Pantai Timur, Utara dan Selatan dijangka menunjukkan peningkatan bermula hari ini dengan mengambil kira cuti sekolah tambahan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) pada 2 sehingga 4 April.
“Aliran trafik kembali ke ibu kota akan menunjukkan peningkatan bermula 5 dan 6 April ini,” jelas LLM dalam kenyataan pada Khamis.
LLM menambah, sebagai usaha mengurangkan kesesakan sepanjang tempoh cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri ini, beberapa langkah diambil antaranya memastikan tiada penutupan lorong oleh syarikat konsesi lebuh raya kecuali bagi kerja kecemasan bermula pada 24 Mac hingga 7 April.
LLM juga katanya, mengaktifkan laluan ‘smart lane’ di 28 lokasi yang telah dikenal pasti di Lebuhraya PLUS.
Malah pihaknya mengarahkan syarikat konsesi lebuh raya utama untuk memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol, selain melaksanakan kutipan tol berlapis di beberapa plaza tol yang dikenal pasti mempunyai trafik yang tinggi.
“Pelaksanaan tempoh larangan pemanduan kenderaan barangan sempena Aidilfitri 2025 pada 29 hingga 30 Mac dan 5 hingga 6 April dijangka sedikit sebanyak akan membantu kepada aliran trafik yang lebih baik di lebuh raya utama negara sebagaimana diumumkan Kementerian Pengangkutan.
“Para pengguna lebuh raya juga dinashatkan untuk merancang perjalanan dengan merujuk kepada aplikasi MyPLUS-TTA oleh pihak PLUS Berhad bagi perjalanan di Lebuhraya Utara Selatan dan cadangan waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) oleh pihak AFA Prime bagi Lebuhraya KL – Karak dan LPT Fasa 1,” katanya.
Jelas LLM, pengguna yang melalui jajaran yang terlibat dengan pengaktifan ‘smart lane’ boleh menggunakan lorong kecemasan sebagai laluan alternatif ketika berlaku kesesakan dan dinasihatkan mematuhi papan tanda lalu lintas yang disediakan.
“Penunggang motosikal diharapkan sentiasa fokus ketika menunggang dan peka dengan pengaktifan ‘smart lane’ di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti serta berhenti berteduh di motorcycle shelter yang telah disediakan apabila cuaca buruk. Sebanyak 472 lokasi motorcycle shelter telah disediakan di sepanjang lebuh raya,” katanya. – WILAYAHKU